Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

2017 menjadi satu tempoh yang baik bagi Malaysia dengan ekonomi negara mengukuh dalam keadaan pertembungan faktor domestik dan luaran yang mencabar, termasuk harga komoditi yang rendah di samping kelemahan mata wang.

Kebanyakan pakar ekonomi sangat berhati-hati terhadap unjuran ekonomi yang berkembang awal tahun ini, dan ia benar khususnya dalam konteks peningkatan dasar perlindungan Amerika Syarikat (AS) dan sentimen populis di seluruh dunia, yang berpotensi menyebabkan pertumbuhan dunia merosot, jika direalisasikan.

Rundingan Brexit berterusan dan beberapa pilihan raya di negara utama Eropah seperti Perancis dan Jerman, dilihat memecahkan lagi Kesatuan Eropah dalam keadaanketidaktentuan harga minyak mentah global berikutan lambakan bekalan terus menjejaskan industri minyak dan gas.

Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan tahun ini, Rizab Persekutuan AS (Fed) bersedia melaksanakan keputusan kadar faedah, membawa kepada tiga kenaikan kadar faedah tahun ini.

Bank of England turut menaikkan Kadar Bank sebanyak 25 mata asas semasa mesyuarat padaNovember, menunjukkan negara-negara maju menghilangkan sokongan monetari secara beransur-ansur memandangkan pertumbuhan ekonomi semakin lebih kukuh seperti dibuktikan oleh penyusutan kadar pengangguran dan peningkatan tekanan inflasi.

Ketua Pakar Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dinamik itu memberi manfaat kepada ekonomi Asia, termasuk Malaysia dengan eksport mencatatkan pertumbuhan dua angka pada kebanyakan tempoh 2017.

“Setengah-setengah industri seperti elektrik dan elektronik, serta sarung tangan getah telah menaik taraf kemudahan pengeluaran masing-masing dan (melaksanakan) automasi selanjutnya dalam proses pengeluaran mereka.

“Ini membolehkan mereka memenuhi jumlah tempahan lebih tinggi daripada pelanggan memandangka n mereka meraih keuntungan dari segi kos, manakala kadar tukaran yang kompetitif juga membantu meningkatkan tarikan kepada produk Malaysia,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi emel.

Keseluruhannya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat untuk mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun iaitu 5.6 peratus pada suku pertama selepas lima suku berturut-turut merekodkan pertumbuhan perlahan sejak suku kedua 2015.

Didorong oleh permintaan domestik dan perbelanjaan swasta yang kukuh, KDNK memperolehi momentum untuk mencatat pertumbuhan 5.8 peratus pada suku kedua 2017.

Ia terus menunjukkan pertumbuhan 6.2 peratus pada suku ketiga, paras tertinggi sejak suku kedua 2014, susulan aktiviti dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan meningkat seiring dengan perbelanjaan awam lebih kukuh.

Pertumbuhan ekonomi yang dicapai pada suku ketiga itu mendorong ABN AMRO Bank NV yang berpangkalan di Netherlands membuat unjuran pertumbuhan ekonomi setahun penuh Malaysia pada 5.5 peratus dan pertumbuhan sederhana 5.0 peratus pada 2018.

Pakar Ekonomi Kanan bank itu, Arjen van Dijkhuizen berkata ABN AMRO telah menaikkan unjuran berkenaan beberapa kali pada tahun ini.

“Jelas di sini, ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan lebih baik berbanding jangkaan tahun ini.

“Setahun lepas, kami menjangkakan ekonomi ini berkembang 4.0 peratus pada 2017 dan 2018,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Di peringkat tempatan, pakar ekonomi menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 lagi mata asas tahun depan selaras dengan kemajuan ekonomi negara.

Mohd Afzanizam berkata ekonomi negara berkembang pada kadar yang besar dan berkemungkinan berterusan sehingga tahun depan.

“Oleh itu, mengekalkan status quo kadar dasar semalaman membawa makna amalan dasar monetari yang kurang cermat, memandangkan langkah itu akan menyebabkan wang mengalir kepada sektor tidak produktif untuk mendapatkan hasil lebih tinggi.

“Dalam kata lain, ia menggalakkan aktiviti spekulasi jika kadar itu kekal rendah ketika pertumbuhan ekonomi kukuh. Justeru itu, ekonomi memerlukan kadar dasar semalaman yang sedikit tinggi untuk memberi ganjaran kepada penyimpan,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu juga akan memacu ringgit ke paras lebih tinggi, walaupun ekonomi lain di rantau ini dilihat mengambil pendekatan berbeza dari segi dasar monetari.

Bank Islam mengunjurkan KDNK 2018 Malaysia pada 5.5 peratus daripada unjuran 5.8 peratus pertumbuhan pada 2017, sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan domestik, terutama daripada pengguna dan pelaburan swasta dalam keadaan permintaan global yang stabil.

Sementara itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat secara ketara pada 2017, didorong oleh perkembangan pesat aktiviti ekonomi dan harga pengangkutan lebih tinggi.

IHP meningkat kepada purata 4.0 peratus pada tempoh Januari-Oktober, berbanding purata setahun penuh 2.1 peratus pada 2015 dan 2016.

van Dijkhuizen juga berkata pihaknya menyaksikan beberapa penyederhanaan daripada pasca krisis kewangan global pada paras 5.1 peratus berbanding tahun pada Mac, dengan inflasi IHP 3.7 peratus berbanding tahun pada Oktober.

“Kami menjangkakan inflasi teras akan terus menyederhana kepada purata 3.0 peratus pada 2018. Kami mengunjurkan satu kenaikan kadar dasar oleh BNM pada 2018 sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus,” katanya.

Terdapat dikotomi antara ekonomi sebenar dan sentimen pengguna susulan peningkatan berterusan kos sara hidup dan harga rumah yang mahal, terutama dengan kenaikan kadar inflasi pada 10 bulan pertama, manakala bank pusat secara konsisten mengetengahkan isu harga rumah yang umumnya melebihi jangkauan.

Pindahan tunai langsung seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia dan pembinaan kediaman mampu milik menerusi pelbagai agensi merupakan antara langkah penting dilaksanakan kerajaan,

Penyataan daripada Fed baru-baru ini juga menunjukkan bahawa kenaikan kadar faedah AS dijangka perlahan dan stabil memandangkan risiko inflasi kekal dikekang.

Mohd Afzanizam berkata oleh itu, pendekatan berperingkat oleh Fed disifatkan positif kepada ringgit.

“Bukan sahaja menandakan ekonomi AS berkedudukan kukuh malah membolehkan masa yang mencukupi untuk pengguna dan perniagaan menyesuai kepada persekitaran baharu (contohnya, kadar yang lebih tinggi).

“Ini adalah positif kerana permintaan dari negara maju tidak akan dijejaskan oleh persekitaran kadar faedah tinggi dan ia sewajarnya mengekalkan momentum permintaan luaran."

Di peringkat tempatan, perdagangan keseluruhan Malaysia meningkat 21.5 peratus kepada RM1.46 trilion pada 10 bulan pertama 2017 daripada tempoh yang sama 2016, dengan eksport melonjak 21.1 peratus kepada RM772.66 bilion, manakala import menokok 21.9 peratus kepada RM692.51 bilion.

Penyumbang utama kepada pertumbuhan itu adalah perdagangan dengan ASEAN, China, AS, Hong Kong, Jepun, Kesatuan Eropah dan Taiwan.

Lebihan perdagangan dicatatkan sebanyak RM80.15 bilion, meningkat 14.4 peratus berbanding tempoh yang sama setahun lepas.

Dalam mempertingkatkan dasar perlindungan, Presiden AS, Donald Trump pada awal tahun ini meletakkan Malaysia bersama-sama beberapa lagi negara lain di bawah pemantauan senarai penipuan perdagangan kerana didakwa menyebabkan kuasa besar dunia itu mengalami defisit perdagangan hampir US$50 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan dakwaan tersebut, memetik percanggahan itu adalah hasil daripada pengkelasan berlainan bagaimana perdagangan dinilai, dengan Malaysia tidak mengambil kira destinasi transit sebagai negara sumber.

Pada masa depan, ABN AMRO, dalam nota penyelidikannya berkata, China merupakan rakan dagang penting bagi banyak ekonomi Asia, termasuk Malaysia, begitu juga ekonomi maju.

"Walaupun kami tidak menjangkakan perang perdagangan utama antara China dan AS, terdapat risiko bahawa pendirian AS mengenai perdagangan akan menjadi lebih ketat pada 2018, menjejaskan eksport Asia,” katanya dalam nota mengenai “Asia Watch - Still in the Lead in 2018".

- Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS