Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga India cabul dua wanita dalam LRT
Diterbitkan:  Dec 27, 2017 5:00 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Seorang pembantu restoran warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas dua pertuduhan mencabul dua wanita di dalam LRT, dua minggu lepas.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, S Saravanakumar, 27, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan dua wanita yang berusia 28 dan 29 tahun.

Saravanakumar dituduh melakukan perbuatan itu di dalam LRT dari Stesen Taman Bahagia menuju ke Stesen Jalan Universiti, di sini, pada 8.40 malam, 14 Dis lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur merayu jaminan rendah dan bersedia untuk menerima sebarang syarat tambahan.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali

Mahkamah menetapkan 24 Jan depan untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS