Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas sangkal Hadi, pakar hadis diserang label 'anjing'
Diterbitkan:  Dec 26, 2017 1:21 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Selepas menyatakan pandangan berbeza dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pakar hadis Dr Rozaimi Ramle diserang di alam maya dengan gelaran “anjing” dan “doktor hadas”.

Rozaimi awal petang ini memuat naik rakaman skrin status Facebook yang mencemuhnya itu serta mempersoalkan sikap "pejuang Islam" itu.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan pihak yang menyerangnya itu.

“Dalam Islam nasihat dan teguran kepada kesilapan dan kesalahan itu adalah hak Muslim.

“Ia diambil dari hadis Nabi sallallah alaih wasallam. Tapi bagi manusia ini, orang yang memberi teguran dikiaskan seperti hadas (kotor) dan anjing.

“Adakah ini sikap pejuang Islam? Belum jadi kerajaan sudah begini sikap penyokongnya apabila pimpinannya dikritik. Fikirkanlah jika mereka berkuasa,” kata anggota Majlis Fatwa Perlis itu.

Penyerangnya itu antaranya berkata:

"So kalau ada seorang doktor hadas, eh hadis itu tak habis-habis menyalak ke PAS dan TGHH (Hadi) walhal TGHH dan kepimpinan PAS itu tidak peduli pun ke dia, kita tak payah peninglah. Dah memang kerja doktor hadas, eh hadis, itu menyalak.

"Nanti adalah kot tuan dia mana-mana datang bagi tulang kat dia sambil kata 'good boy, good boy'," menurut status itu.

Rozaimi sebelum ini tidak sependapat dengan Hadi yang menyelar tindakan mengutamakan calon perdana menteri dan pembentukan kabinet bayangan jika mereka menang pilihan raya.
Hadi berkata tindakan itu bercanggah dengan adab Rasulullah SAW.

"Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya, lantas Baginda SAW bersabda: 'Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya'," katanya.

Rozaimi bagaimanapun berkata hadis itu tidak berkaitan dengan penamaan calon pemimpin, sebaliknya ia berkaitan dengan isu meminta jawatan.

“Jika dilihat dari teks ini, jelas Bani Amir sudah dapat gambaran bahawa Nabi akan menjadi pemimpin mereka.

“Mereka seperti sudah dapat gambaran calon pemimpin apabila menang dan membentuk kerajaan nanti. Justeru mereka mahu berkuasa setelah Nabi.

“Bagi saya, cubaan menggunakan riwayat ini untuk mengatakan langkah menamakan calon pemimpin bukan adab Islam adalah tersasar,” hujahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS