PAS hari ini menyelar tindakan sesetengah parti yang lebih mengutamakan calon perdana menteri dan pembentukan kabinet bayangan jika mereka menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan itu bercanggah dengan adab yang dibawa Rasulullah SAW.
"Maka, PAS tidak mendahulukan pembentukan kabinet atau melantik siapa bakal perdana menteri, yang bakal menjadi bangkai sahaja.
"Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah SAW apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya, lantas Baginda SAW bersabda: 'Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya'," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu turut disiarkan dalam portal rasmi PAS, Harakahdaily.
Walaupun tidak menamakan sebarang pihak atau parti, kenyataan Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang itu dipercayai merujuk kepada tindakan Pakatan Harapan, yang akan menamakan calon perdana menteri mereka bulan depan.
Beliau berkata, adab Islam menyaksikan Rasulullah tidak berjuang kerana mengejar jawatan.
Sebaliknya, kata Abdul Hadi, Rasulullah menerima mereka yang berbaiah dan setia menunaikan baiahnya bersama Islam yang diperjuangkan dengan istiqamah dan menunggu pertolongan Allah setelah memenuhi syarat-syarat yang diperintahnya.
“Begitulah PAS boleh menerima dan bersama sesiapa sahaja termasuk DAP yang menerima Islam yang sempurna, aqidah, syariat, akhlak dan nizam (sistem) serta menunggu kemenangan yang dijanjikan kepada Islam dengan berjuang memenuhi syarat-syaratnya juga.
“Masalahnya, apabila Islam diberi kemenangan dan pengaruhnya yang adil dan rahmatnya akan dilihat dan dirasai secara nyata, bukannya seperti ideologi lain yang terus diuji tanpa menemui penyelesaian terhadap masalah manusia sejagat.
“Maka Islam dapat menguasai hati manusia dengan rela tanpa paksaan, bukan sekadar memerintah negaranya sahaja,” katanya.
Pemimpin pembangkang sebelum ini sepakat melantik ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU.
Namun Anwar hanya dijangka dibebaskan dari penjara tahun depan tidak akan memegang apa-apa kerusi Parlimen untuk melayakkannya menjadi perdana menteri.
Anggota Biro Politik PKR Datuk Johari Abdul sebelum ini mengesahkan cadangan untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai calon timbalan hanya menunggu kelulusan daripada Anwar.
Anwar sehingga kini belum memberi apa-apa kenyataan berkenaan perkara itu.
Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Parti Bersatu Malaysia (BERSATU) pula dilapor berkata, beliau boleh menjadi perdana menteri sementara jika keadaan diperlukan.
Abdul Hadi dalam kenyataannya turut mempersoalkan mengapa Islam dihalang daripada kemenangan dan dijatuhkan setelah menang.
“Ini bukan kerana salah dan sesatnya, tetapi kerana dengki yang berterusan daripada musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari alasan dan berbohong yang dicipta dan memutarbelitkan ajaran Islam sehingga dikelirukan.
“PAS tetap berterus-terang dan beristiqamah bersama Islam tanpa sembunyi dan berdolak-dalih semata-mata untuk meraih simpati sokongan daripada semua pihak, kerana kini bukan zamannya untuk menipu masyarakat yang tidak mahu kepada Islam secara nyata yang wajib dinyatakan hujahnya dengan penuh hikmah,” katanya.
Abdul Hadi turut menjelaskan konsep PAS tidak memisahkan di antara dakwah dan politik supaya seramai-ramai manusia menerima Islam tanpa paksaan, atau tidak menganut Islam tetapi bersedia bernaung di bawah pemerintahan Islam yang lebih baik.
Seterusnya, kata beliau, menegakkan Islam menjadi pemerintah dan pemimpin secara terbuka.
“Islam adalah agama yang mampu berhujah dengan semua pihak kalau dibuka peluangnya dengan adil dan mahu mencari kebenaran dan penyelesaian.
“Biarkan kalangan yang menegakkan benang basah berbasah kuyup bersama kesesatannya,” katanya.