Selebriti kontroversi, Azwan Ali dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok bagi membantu siasatan berhubung dakwaan isu salah guna kuasa membabitkan anggota keluarganya.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, lapor Utusan Malaysia.
Azwan bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini hari ini enggan mengesahkan kehadirannya esok tetapi menegaskan jika terjadi pasti akan menggemparkan negara ini.
"Saya minta maaf (tak boleh sahkan kehadiran esok).
“Tapi kalau betul pun terjadi (saya hadir), I believe it's gonna be a real shit for nation," tegas Azwan.
Utusan hari ini melaporkan mereka difahamkan pertemuan itu dijangka diadakan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi.
Adik Azmin itu sebelum ini membuat kejutan apabila muncul di perhimpunan Agung Umno di ibu negara dua minggu lepas dan berikrar untuk “menjahamkan” Azmin.
Azwan mengugut mendedahkan rahsia abangnya yang disimpan sekian lama.
Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Azwan bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan termakan lagi dengan pujuk rayu abangnya lagi selepas ini.
"Perkara itu (panggilan SPRM) juga menjadi suatu yang mendebarkan saya termasuk awak kan.
“Saya tak pernah pergi SPRM. Tak pernah dalam sejarah hidup saya ke SPRM, jadi ia macam dalam mimpilah.
"Tetapi apa pun perjuangan saya untuk menentang Azmin Ali tak akan berhenti. Dia pujuklah, dia katalah apa yang indah tentang Azwan Ali tidak dilayan dah," kata Azwan.