Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Pada 14 Disember lalu, akhbar Utusan Malaysia, The Star dan The New Straits Times melaporkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun ini dengan memetik Laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) atau Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan Bank Dunia.

Pada 2018, Malaysia diunjur mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sederhana pada 5.2 peratus, demikian menurut laporan itu. Malah Bank Dunia menjangka Malaysia boleh menjadi negara berpendapatan tinggi secepat 2020.

Bank Dunia juga mengunjurkan pendapatan kasar negara atau GNI per kapita akan mengatasi had pendapatan tinggi AS$12,236 (RM49,923) antara 2020 and 2025. Buat masa ini purata GNI per kapita Malaysia dianggarkan bernilai AS$ 9,660 (RM39,413), atau AS$ 2,576 (RM10,510) kurang daripada had yang ditetapkan.

Menurut Bank Dunia lagi, dengan permintaan domestik dan luaran yang terus kukuh, pertumbuhan Malaysia dijangka terus utuh apabila masuk 2018.

Jika diteliti laporan oleh Bank Dunia setebal 76 muka surat itu (boleh didapati di laman sesawang World Bank), siapalah saya untuk mempersoalkannya tetapi jika dilihat pula laporan oleh media perdana berkenaannya dan dibandingkan dengan laporan Bank Dunia maka saya kira ia pelaporan yang terpilih, untuk menggambarkan yang positif sahaja sedangkan terdapat juga beberapa bahagian yang ditegur oleh Bank Dunia.

Pertama, menurut muka surat 24 laporan Bank Dunia berkenaan, keluarga yang miskin ialah yang paling teruk terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Ia tambah buruk dengan kurangnya perumahan mampu milik. Ya, ini juga terkandung dalam laporan Bank Dunia.

Ketidakseimbangan yang jelas

Laporan berkenaan berkata kenaikan tekanan inflasi sejak beberapa tahun telah memberi kesan tidak seimbang kepada isi rumah berpendapatan rendah, terutama di kawasan bandar yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk barangan dan perkhidmatan yang merekodkan kenaikan harga yang ketara.

Kaji selidik berkaitan perbelanjaan isi rumah tahun lepas menunjukkan ketidakseimbangan yang jelas dalam kandungan perbelanjaan isi rumah merentasi tahap pendapatan berbeza.

Menurut laporan tersebut lagi, isi rumah di tahap pendapatan paling rendah berbelanja hampir 40 peratus daripada perbelanjaan untuk makanan, berbanding dengan 25 peratus di kalangan mereka yang berpendapatan tinggi.

“Oleh kerana itu, isi rumah yang paling miskin telah mengalami ketidakseimbangan akibat daripada kenaikan tekanan inflasi sejak beberapa tahun lepas dengan kenaikan relatif harga makanan,” kata laporan berkenaan.

Kenaikan kos ternyata lebih ketara di kawasan bandar di mana kenaikan harga barang lebih tinggi jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar.

Ia bertambah buruk dengan kemerosotan berterusan terhadap rumah mampu milik sejak 2012 akibat daripada kekurangan perumahan tersebut.

Dengan kata lain, sudahlah pendapatan mereka (khususnya rakyat yang menetap di bandar) rendah, mereka terpaksa menanggung harga barang yang mahal dan membayar harga sewa rumah yang tinggi kerana tidak mampu membeli rumah yang hanya mampu dilihat tetapi tidak mampu dimilik.

Menurut Bank Dunia, kenaikan mendadak harga rumah sejak 2008 boleh menjadi faktor ketidakstabilan masa depan.

Ledakan harga

Laporan itu berkata kenaikan harga rumah boleh mengurangkan kekangan pinjaman dan membolehkan pemilik rumah sedia ada meningkatkan penggunaan, dengan itu meningkatkan ekonomi.

Tetapi umpama pisau bermata dua, kenaikan harga yang mendadak mewujudkan insentif bagi pembinaan hartanah baru, yang menyebabkan ledakan harga dan pelarasan mendadak terhadap kegiatan ekonomi.

Akhirnya jumlah pembinaan hartanah melebihi permintaan tetapi lambakan itu tidak pula menyelesaikan masalah rumah mampu milik kerana harga rumah terlalu mahal untuk dibayar oleh isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri dilaporkan berkata, ketidakseimbangan pasaran hartanah boleh memberi risiko besar ke atas keseluruhan ekonomi sekiranya berlaku kejutan.

Sebagai langkah sementara, kabinet baru-baru ini mengarahkan pengeluaran permit dibekukan kepada pemaju yang hendak membina pusat beli-belah, bangunan komersial dan kondominium berharga RM1 juta ke atas, berkuat kuasa 1 November. Namun selesaikah masalah permintaan dan bekalan hartanah (demand and supply) serta kemiskinan bandar dengan kaedah ini?

Kedua, Bank Dunia juga menasihatkan Malaysia untuk memberi perhatian kepada penambahbaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana pada pendapatnya terdapat masalah ketidakadilan agihan kekayaan dan peluang terutama buat isi rumah B40 di mana perkongsian pendapatan mereka berkurangan daripada 16.8 peratus (2014) kepada 16.4 peratus (2016-17).

Ini boleh dilakukan dengan memberi perhatian kepada pendapatan dan kos sara hidup mereka, terutama yang berpendapatan rendah dan menetap di kawasan bandar, kata Bank Dunia.

Subsidi tersasar

Pendek kata, kaedah kelayakan BR1M perlu dikajisemula berdasarkan tahap pendapatan, manfaat dan kawasan. Manakala pengenalan subsidi tersasar perlu dikembalikan, terutamanya subsidi minyak yang memberi kesan besar kepada kenaikan kos pengangkutan.

Ketiga, meskipun Bank Dunia melaporkan Malaysia boleh menjadi negara berpendapatan tinggi secepat 2020, tahukah kita bahawa penanda yang digunakan untuk mengukur konsep negara berpendapatan tinggi sangat bermasalah?

Banyak pihak dalam komuniti penyelidikan dan gerakan massa sudah menyuarakan kebimbangan mereka kepada kaedah yang digunakan untuk mengukur pendapatan menggunakan dollar Amerika. Ia bukan mata wang yang majoriti rakyat Malaysia perolehi atau gunakan.

Dalam masa yang sama, bolehkah diabaikan sahaja yang kebanyakan isi rumah yang berpendapatan rendah masih tidak berubah situasi mereka dan isi rumah Bumiputera masih berada dalam kelompok 40 peratus terbawah dalam strata isi rumah di Malaysia?

Bolehkah diabaikan sahaja bahawa kebanyakan pendapatan negara ini pada tahun 2020 berkelompok dan tertumpu hanya kepada 100 orang di negara ini?

Malaysia ialah antara negara yang mempunyai jurang pendapatan yang paling lebar antara yang kaya dan miskin.

Kesimpulannya, kemajuan sesebuah negara dan rakyatnya tidak hanya boleh disandarkan hanya kepada angka KDNK, GNI per kapita dan negara berpendapatan tinggi. Hakikatnya, sasaran itu hanyalah satu nombor yang tiada makna jika realitinya rakyat susah!

Menurut Bank Dunia, meskipun GNI per kapita dianggap mewakili tahap kesihatan ekonomi negara namun ia tidak mencerminkan secara menyeluruh dan holistik akan aspek besar kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Ia juga tidak semestinya menangani isu agihan kekayaan di seluruh negara dan segmen masyarakat.

Pihak media tajaan Umno BN juga perlu memberi laporan yang adil terutama dalam memetik laporan seperti Bank Dunia. Janganlah melapor kerana agenda politik semata. Pelaporan yang beretika bermakna pelaporan yang tepat, adil dan profesional.

Rakyat juga perlu bijak menilai laporan dan berita yang keluar daripada lidah Umno BN. Ada masanya benar tetapi kebanyakan masa hanya berita yang baik-baik keluar. Berita yang negatif hilang entah ke mana.


SYED IBRAHIM SYED NOH adalah ketua penerangan PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS