Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata tiada sebab untuk rakyat Malaysia meletakkan harapan memulihkan negara kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, ini kerana di zaman pentadbiran bekas perdana itu negara berhadapan pelbagai peristiwa dan pergolakan, seperti peristiwa Memali 1985, krisis dengan Raja-Raja Melayu pada 1993 sehinggalah kepada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencetuskan gerakan Reformasi pada 1998.
"Saya tak nampak apa relevannya untuk memberikan semula kepercayaan kepada Mahathir.
"Malah hari ini kita cuba membersihkan pelbagai 'penyakit' yang berpunca dari zamannya menjadi perdana menteri," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Mahathir yang buat pertama kali mendesak pembebasan bekas musuh ketatnya, Anwar, dalam satu kenyataan bersama dengan peguam hak asasi Amerika Syarikat Kimberley Motley minggu lalu.
Ahmad Fadhli yang juga ketua Pemuda PAS Kelantan berkata, Mahathir adalah seorang yang tidak kisah membuat pendirian yang berubah-berubah demi politik.
"Kita tahu HARAPAN tiada tokoh dan memerlukan Mahathir sebagai pemimpin untuk dijadikan rujukan. Mereka masih ada masa untuk menilai semula (soal itu), jangan sampai menyesal selepas ini," katanya lagi.
Sebelum ini, Mahathir yang kini menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - komponen dalam Pakatan Harapan - juga dilaporkan menjadi calon perdana menteri HARAPAN jika menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Namun, cadangan itu dikatakan belum muktamad.
Beliau berkata Mahathir akan sekali lagi "menghancurkan negara" jika diberi peluang kembali ke tampuk perdana menteri.
Pendirian itu senada dengan anggota Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki yang mendakwa "agenda reformasi" sejak dua dekad lalu akan berkubur jika perkara itu berlaku.
"Rakyat wajib menolak kepimpinan Mahathir dan memberi kepercayaan kepada PAS untuk mentadbir negara selepas PRU ke-14," kata Ahmad Fadhli.