ULASAN | Baitulmaqdis, kota suci bagi tiga agama iaitu Islam, Judaisme dan Kristian menjadi rebutan di antara kedua-dua Palestin dan Israel dalam konflik berpanjangan yang berdekad lamanya.
Baru-baru ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Ini telah memarakkan kembali api kemarahan umat Islam di serata dunia.
Catatan sejarah menunjukkan kota Baitulmaqdis serta wilayah-wilayah di mana letaknya Palestin dan Israel pada hari ini telah didiami selama beribu-ribu tahun oleh masyarakat Yahudi, Arab dan Armenia. Kemakmuran Palestin dan kedudukan strategiknya di pinggir Laut Mediterranean mengundang banyak kuasa besar untuk menjajah wilayah ini.
Sewaktu zaman pemerintahan Rom di antara 66-136 Masihi, banyak orang Yahudi telah diusir keluar dan inilah titik tolak bermulanya diaspora Yahudi. Keadaan ini berterusan ketika berlakunya Perang Salib pada tahun 1099 sehingga wilayah ini diletakkan di bawah pentadbiran Empayar Uthmaniyah yang akhirnya runtuhnya pada tahun 1914.
Sewaktu zaman Empayar Uthmaniyah, Palestin adalah sebuah kawasan majoriti berpenduduk Muslim.
Setelah kejatuhan Empayar Muslim yang gagah ini, wilayah Palestin ditadbir oleh pihak British, yang menyokong penubuhan negara Israel dalam wilayah Palestin menerusi Pengisytiharan Balfour pada tahun 1917. Semenjak itu, pemindahan penduduk Yahudi ke Palestin semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Pada tahun 1936, pihak Arab memberontak ke atas pihak British dan Yahudi. Pentadbir British menubuhkan Suruhanjaya Peel bagi mengenalpasti masalah yang mendorong ke arah terjadinya pemberontakan ini.
Hasil dapatan Suruhanjaya ini menyebut bahawa konflik terjadi kerana kedua-dua pihak Arab dan Yahudi ingin mentadbir tanah yang sama.
Bagi mengatasi masalah ini, Suruhanjaya Peel kemudiannya mencadangkan agar Palestin dibahagikan kepada dua wilayah, iaitu wilayah untuk negara Arab Palestin dan negara Yahudi Israel.
Masyarakat Yahudi menegaskan Palestin ialah tanah tradisi mereka, suatu penyataan yang ditolak keras oleh Dunia Arab.
Atas dasar ini, Palestin tidak bersetuju dengan pelan ‘penyelesaian dua negara’ ini dan melancarkan beberapa serangan yang turut disertai oleh negara-negara Arab di rantau tersebut.
Peperangan terbesar ke atas Israel berlaku pada tahun 1948 dan 1967. Israel meraih kemenangan dalam kedua-dua perang ini yang telah menyaksikan Palestin kehilangan banyak tanah yang dahulunya pernah menjadi wilayah mereka.
Seperti Palestin, tanah Melayu juga telah mengalami beberapa siri penjajahan oleh pelbagai kuasa penjajah seperti Siam, Portugis, Belanda, Jepun dan British.
Kedah pernah diserang dan dijajah oleh Siam diantara tahun 1821-1842 yang mengakibatkan Kedah kehilangan banyak wilayahnya seperti wilayah Satun yang kini menjadi milik Thailand.
Pattani juga mengalami nasib yang sama. Walaupun pernah menjadi sebuah kesultanan Melayu yang berdaulat, penjajahan Siam pada tahun 1909 telah menyebabkan wilayah-wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat pada hari ini diletakkan di bawah kedaulatan Thailand.
Sungguhpun pemberontakan terhadap Bangkok masih berlaku, ianya tidaklah merebak menjadi konflik berat seperti yang sedang berlangsung di Palestin.
Singapura, yang pernah menjadi sebahagian daripada kesultanan Johor secara rasmi menjadi tanah jajahan British pada tahun 1824.
Negeri-negeri Melayu yang lain pula secara perlahan-lahan menjadi tanah naungan British bermula daripada Perjanjian Pangkor yang dimeterai pada tahun 1874.
Bukan Melayu jadi warganegara
Pada ketika itu, pihak British telah menggalakkan migrasi masyarakat bukan Melayu terutamanya dari China dan India untuk menampung keperluan dan kepentingan aktiviti ekonomi mereka di Tanah Melayu.
Oleh yang demikian, seperti Palestin, Tanah Melayu juga mengalami perubahan demografi etnik yang sangat jelas. Tanah Melayu (atau Malaya/ Malaysia) berubah wajah dari wilayah yang diduduki orang-orang Melayu kepada sebuah negara berbilang bangsa dan agama.
Akibat penjajahan British, Singapura yang dahulunya merupakan wilayah yang ditadbir oleh Sultan Melayu kini menjadi sebuah negara majoriti berketurunan Cina.
Sungguhpun Malaysia negara berbilang kaum, jarang sekali konflik berlaku di negara ini, senario yang sangat berbeza dengan keadaan di Palestin.
Sifat timbang rasa dan toleransi yang tinggi dikalangan rakyat Malaysia berketurunan Melayu memungkinkan penduduk bukan Melayu di negara ini diterima sebagai warganegara tanpa banyak masalah menjelang kemerdekaan negara pada tahun 1957.
Kini, masyarakat Malaysia yang berbilang kaum berganding bahu membina negara ini dengan jayanya. Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dibuktikan dengan data yang dikeluarkan oleh Indeks Keamanan Global yang meletakkan Malaysia antara 30 negara teraman di dunia pada tahun 2017.
Malah, masyarakat Melayu di Singapura dan Thailand juga boleh menerima kedudukan mereka sebagai masyarakat minoriti walaupun pada asalnya, Singapura dan selatan Thailand secara tradisinya adalah sebahagian dari Tanah Melayu.
Konflik Israel-Palestin ini masih berpanjangan dan yang jelas, pihak Palestinlah yang berada di dalam kerugian. Sedang Israel diiktiraf sebagai antara negara paling maju di dunia, Palestin masih lagi dibelenggu kemiskinan, kedaifan, keganasan dan peperangan.
Dunia memandang konflik ini sebagai konflik agama tetapi hakikatnya, ia bersangkut paut juga dengan nasionalisme kedua-dua bangsa. Mungkin sudah tiba masanya bagi masyarakat Arab Palestin mengambil jalan tengah secara diplomasi.
Sikap tolak ansur dan toleransi masyarakat Melayu khususnya dan masyarakat bukan Melayu amnya telah membolehkan Malaysia wujud sebagai sebuah negara yang progresif, aman dan makmur. Ini boleh dijadikan contoh untuk Palestin membina semula negaranya.
S'pura dan M'sia wujud bersama
Malah, Malaysia tidak pernah bermusuh dengan Singapura, negara tetangga yang pernah menimbulkan ketegangan ketika ianya berada di dalam Persekutuan 52 tahun yang lalu. Singapura dan Malaysia kekal wujud bersama dan sehingga kini menjalinkan hubungan diplomatik yang baik serta saling memerlukan.
Bukan bermaksud menerima kekalahan apalagi mengiktiraf kewujudan Israel. Selama ini, perpecahan dunia Arab dan kelemahan Palestinlah yang memberikan ruang untuk Israel melakukan penindasan dan terus menunjukkan taringnya.
Al-Quran menerusi Surah Ar-Ra’d, ayat 11 ada menyebut bahawa Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Melainkan negara-negara Islam sehati sejiwa bangkit bersama menentang Israel, apalah kekuatan yang ada pada Palestin bagi mengimbangi pengaruh besar Israel?
Oleh itu, solidariti negara-negara Islam menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini yang menyokong Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin adalah suatu tindakan yang sangat tepat.
Semoga negara-negara Islam terus bersatu hati untuk bersama mendokong kedaulatan Palestin. Jangan sampai satu hari nanti negara Palestin sekadar tinggal coretan sejarah Asia Barat semata-mata.
DR MOHD HAZMI MOHD RUSLI ialah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-Undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.