Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kekecewaannya melihat ramai pemimpin negara Islam tidak hadir ke sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki 13 Disember lalu, susulan pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Kegagalan pemimpin negara Islam itu di saat umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia menyatakan bantahan mereka, katanya yang juga naib presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
"Sesiapa yang hadir, di dalam hati mereka ada sekecil zarah kebanggaan terhadap Islam dan sebahagian daripada mereka lebih kuat daripadanya.
"Di manakah mereka yang tidak hadir di kalangan raja, pemerintah dan ulama' yang menyifatkan mereka sebagai 'ulil amri' (pemimpin yang wajib ditaati) di atas muka bumi Islam?
"Dan buruklah bagi mereka yang tidak hadir dan mendapat kerugian di dunia dan akhirat nanti. Hanya Allah yang lebih mengetahui," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut laporan laman Middle East Monitor, hanya 16 daripada 57 negara anggota OIC yang diwakili pemimpin tertinggi manakala kebanyakannya menghantar pegawai yang berpangkat lebih rendah.
Antara pemimpin tertinggi yang hadir adalah Presiden Iran Hassan Rouhani, Raja Jordan Raja Abdullah II, Presiden Lubnan Michel Aoun dan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani.
Menurut laman Middle East Eye pula, negara yang dianggap penting di Asia Barat, seperti Arab Saudi dan Mesir masing-masing hanya menghantar menteri hal-ehwal agama dan wakil kementerian luar.
Malu pada PM Venezuela
Sidang kemuncak luar biasa bertemakan "tindakan bersama dalam semangat perpaduan dengan Al-Quds" itu diadakan ats permintaan Erdogan, atas kedudukannya sebagai pengerusi Sidang Kemuncak Islam ke-13.
Abdul Hadi membandingkan ketidakhadiran mereka dengan Perdana Menteri Venezuela Nicolas Maduro yang turut hadir selepas dijemput Erdogan.
"Tidakkah mereka merasa malu kepada perdana menteri Venezuela yang hadir sebagai penghormatan ke atas umat Islam?
"Malangnya ada sebahagian pemimpin dan raja yang tidak hadir sebagai tanda penghormatan kepada Zionis," katanya lagi.
Hadi berkata lagi, walaupun sidang itu tidak menghasilakn resolusi sehingga penentangan terhadap Perjanjian Balfour 1917, ia diharapkan dapat meningkatkan kesatuan umat Islam dalam menghadapi konflik zaman-berzaman itu.