Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suaram: Siasat polis tangkap bekas polis
Diterbitkan:  Dec 14, 2017 8:31 PM
Dikemaskini: 12:50 PM

Kumpulan hak asasi manusia Suaram hari ini mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat penahanan seorang bekas polis oleh sekumpulan anggota polis yang didakwa tidak sah.

Menurut aktivis S Arutchelvan, mangsa, Mohammad Yazid Apatura Abdullah, juga dianiayai pihak polis ketika ditahan semalaman.

Dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Suhakam, Yazid mengatakan dia ditahan kira-kira jam 3.30 pagi selepas memarkir keretanya dekat sebuah kafe di Jalan Telawi Bangsar pada 18 November lalu.

Menurutnya, ketika itu dia ditahan seramai tujuh anggota polis berpakaian biasa yang menaiki sebuah van putih.

"Apabila saya bertanya apa sebab saya diarahkan menaiki van, seorang anggota polis berbangsa India tidak dikenali menjawab dengan marah kepada saya. Dia mengarahkan saya supaya tutup mulut dan ikut mereka ke balai dan memberitahu bahawa saya akan dibawa ke balai untuk membuat saringan air kencing.

"Setelah sampai di Balai Polis Travers saya dimarahi lagi dan dipaksa untuk mengangkat sebuah meja valet parking ke tingkat 2 dengan menggunakan laluan tangga. Akibat dari itu, saya mengalami kecederaan di bahagian pinggang saya," katanya.

Didakwa urus parkir haram

Menurut Yazid setelah sampai ke bilik D7, dia diuruskan oleh anggota lain dan diarahkan membuka baju untuk memeriksa sekiranya dia mempunyai sebarang tatu.

"Apabila saya bertanya apa sebab saya ditangkap pada anggota tersebut, dia memberitahu bahawa saya melakukan parking haram.

"Saya cuba beritahu yang saya tidak terlibat dalam aktiviti itu. Saya menerangkan yang saya cuma berdiri di tempat itu memandangkan ia tempat awam.

"Mereka tidak bersedia mendengar penjelasan dari saya malah telah marah dan meminta saya untuk tutup mulut," jelasnya.

Menurut Yazid, salah seorang anggota polis yang dikenali sebagai Mathew turut memalukan dirinya dengan mempersoalkan mengapa dia memeluk Islam.

Persoal kenapa masuk Islam

"Dia mempertikaikan hal peribadi saya tentang saya berkahwin dengan seseorang yang berbangsa Melayu dan memeluk Islam.

"Saya juga dipaksa menurunkan tandatangan di sekeping borang hak-hak orang yang ditangkap yang diberikan kepada saya selepas kenyataan diambil. Saya enggan namun tetap menurunkan tandatangan kerana risau akan keselamatan saya," kata Yazid yang mengatakan dia kemudian dihantar ke Lokap Berpusat Jinjang.

Pada 19 November Yazid dibawa ke Mahkamah Majistret, di mana pegawai penyiasat (IO) membuat permohonan reman selama tiga hari terhadapnya.

Namun katanya, majistret menolak permohonan berkenaan kerana pegawai penyiasat tidak mengetahui sebab dia ditangkap.

Setelah dibebaskan pada hari yang sama, Yazid membuat laporan dengan Biro Pengaduan Awam dan Kementerian Sumber Manusia.

Dia mendakwa tidak diberi peluang untuk mendapatkan peguam dan penahanan itu menyebabkan dia digantung kerja dan mengalami trauma.

Sehubungan itu Suaram menuntut Suhakam menjalankan siasatan bebas terhadap insiden itu serta menggesa pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam penahanan Yazid digantung serta merta.

"Suhakam juga harus bertemu dan berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Kementerian Dalam Negeri untuk membincangkan penyalahgunaan kuasa dan perlakuan buruk terhadap tahanan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS