Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rangkaian Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikatakan sudah memberhentikan operasinya.

Semakan Malaysiakini mendapati beberapa rangkaian KB1M sudah berbuat demikian.

Antaranya cawangan KB1M yang bertempat di Pusat Trasnformasi Bandar (UTC) Ipoh Perak, UTC Alor Setar Kedah, UTC Gong Badak Terengganu dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Wangsa Maju.

Difahamkan, cawangan di ITBM merupakan KB1M yang terakhir ditutup dan kedai tersebut kini telah diberi nafas baru sebagai kedai milik ITBM.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan penerbit buku Fixi membuat tuntutan saman terhadap KB1M selepas mendakwa syarikat inisiatif kerajaan itu gagal melunaskan tunggakan hutang mencecah RM105,000.

Dalam satu kenyataan, Fixi berkata tuntutan dibuat agar KB1M membayar hasil jualan buku terbitannya di rangkaian KB1M sejak tahun lalu berjumlah RM104,930.75.

"Kali terakhir mereka membuat bayaran kepada kami ialah November 2016, lebih setahun lalu.

"Sejak itu kami menghubungi pihak berkenaan beberapa kali tanpa mendapat sebarang jawapan," kata Fixi yang banyak menerbitkan buku bergenre novel dan kumpulan cerpen bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris.

Sebagai rekod, KB1M diperkenalkan perdana menteri pada September 2012 bertujuan menjual bahan bacaan bermutu pada harga berpatutan kepada rakyat.

Tak mampu tanggung kos?

Seorang bekas pengurus salah satu cawangan KB1M ketika dihubungi berkata, beliau difahamkan KB1M dihentikan operasi susulan tidak mampu menanggung kos operasi.

"Saya dengar KB1M tak dapat teruskan operasi sebab tak mampu tanggung kos. Difahamkan KB1M juga sudah tidak mendapat dana daripada kerajaan.

"Sejauh mana kebenarannya saya sendiri tak pasti. Selepas KB1M ditutup, kami pekerja-pekerja terpaksa mencari rezeki dengan cara lain," katanya yang enggan nama disiarkan.

Sementara itu, usaha untuk pendapatkan reaksi daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap KR1M masih gagal.

Pengerusi KB1M, Khair Ngadiron yang juga Pengarah Urusan ITBM setakat ini memilih untuk berdiam diri.

"Maaf, untuk makluman tiada sebarang kenyataan mengenai KB1M akan dikeluarkan setakat ini," kata seorang pegawai ITBM selepas Malaysiakini mengemukakan soalan berkaitan KB1M, hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS