McDonald’s Malaysia hari ini memberi amaran akan terus bertindak tegas ke atas individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa restoran makanan segera itu menyalurkan dana kepada Israel dan mahu orang ramai memboikotnya.
Setakat ini, menurut pengarah urusan dan pemilik saham tempatan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, Azmir Jaafar, McDonalds telah memfailkan laporan polis terhadap 20 individu dan kumpulan yang menyebarkan berita palsu itu.
“Berdasarkan nasihat undang-undang, kami juga telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya yang dipetik oleh portal Sinar Harian hari ini.
Azmir berkata, tindakan membuat laporan polis adalah bagi melindungi warga kerja dan ahli keluarga pekerja McDonald’s yang kini menjadi mata pencarian 12,000 rakyat Malaysia.
Portal itu juga memetik Azmir sebagai berkata, syarikat itu juga telah mengambil pandangan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan agar dakwaan ini dapat diperbetulkan dengan lebih jelas.
Beliau berkata, menurut pandangan mufti Wilayah Persekutuan seruan wajib boikot hanya sah jika ia diperintah oleh kerajaan.
“Kami berharap agar semua rakyat Malaysia akan mendengar nasihat dan kata-kata bijaksana mufti.
“Penyebaran pembohongan dan fitnah tentang McDonald’s Malaysia serta seruan yang tidak wajar untuk memboikot terhadap restoran kami hanya akan menyebabkan lebih banyak mudarat daripada manfaat,” katanya.
Sebelum ini, McDonald's Malaysia dalam satu kenyataan di laman web rasmi dan laman Facebook menafikan dakwaan sumbangan restoran makanan segera itu kepada Jewish United Fund (JUF) melalui Matching Gift.
“Dakwaan bahawa McDonald’s menyalurkan dana kepada Israel adalah satu tuduhan yang tidak benar, dusta, palsu dan fitnah.
“Dakwaan yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mesej WhatsApp juga tidak berasas,” kata kenyataan itu.
McDonald’s dikaitkan dengan Israel susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqadis sebagai ibu negara Israel, baru-baru.
Tindakan itu mencetuskan kemarahn umat Islam di seluruh negara, termasuk Malaysia.
Untuk rekod, perniagaan McDonald's di Malaysia dikendalikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd dan syarikat itu 100 peratus milik tempatan serta pemegang saham terbesarnya adalah beragama Islam.