GLOBAL l Para pemimpin Islam pada hari Rabu mengutuk tindakan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan menyeru dunia untuk bertindak balas dengan mengiktirafnya sebagai ibu negara Palestin.
Presiden Turki Tayyip Erdogan, yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak lebih 50 negara Islam di Istanbul, berkata langkah AS itu bermakna Washington telah melepaskan peranannya sebagai broker dalam usaha untuk menamatkan konflik Israel-Palestin.
"Mulai sekarang, tidak timbul lagi persoalan bagi Amerika Syarikat yang berat sebelah untuk menjadi orang tengah di antara Israel dan Palestin, tempoh itu telah berakhir," kata Erdogan di akhir sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu.
"Kita perlu membincangkan siapa yang akan menjadi orang tengah mulai sekarang. Keperluan ini harus ditangani dalam PBB juga," kata Erdogan.
Satu kenyataan yang disiarkan di laman web Kementerian Luar Turki berkata para emir, presiden dan para menteri yang berkumpul di Istanbul menyifatkan langkah Trump itu "sebagai pengumuman penarikan diri pentadbiran AS daripada peranannya sebagai penaja keamanan".
Ia menggambarkan keputusan itu sebagai "sengaja melemahkan semua usaha damai, dorongan (untuk) ekstremisme dan keganasan, dan satu ancaman kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa."
Para pemimpin termasuk Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Iran Hassan Rouhani dan Raja Abdullah Jordan, seorang sekutu rapat AS, semuanya mengkritik langkah Washington itu.
"Baitulmuqaddis adalah dan akan sentiasa menjadi ibu negara Palestin," kata Abbas, sambil menambah keputusan Trump itu adalah "jenayah terbesar" dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Ditanya mengenai kecaman itu pada taklimat Jabatan Negara di Washington, jurucakap Heather Nauert berkata, Trump "tetap komited kepada proses damai itu."
"Itu jenis retorik yang kita dengar yang telah menghalang keamanan pada masa lalu," katanya, sambil menggesa orang ramai memberi tumpuan kepada apa yang Trump sebenarnya kata.
Heather berkata, keputusan itu tidak menjejaskan sempadan akhir bandar itu, yang bergantung kepada rundingan antara Israel dan Palestin.
Tetapi apabila ditanya sama ada Baitulmuqaddis juga boleh diiktiraf sebagai ibu negara masa depan Palestin, Nauert berkata penentuan itu terserah kepada status akhir rundingan antara Israel dan Palestin.
"Kami mengambil satu pendirian mengenai bagaimana kita melihat Baitulmuqaddis," katanya.
"Saya fikir ia terserah kepada Israel dan Palestin untuk menentukan bagaimana mereka mahu melihat sempadan itu - sekali lagi, status akhir rundingan."
Abbas memberitahu pemimpin OIC di Istanbul bahawa Washington telah menunjukkan bahawa ia tidak lagi menjadi broker yang jujur.
"Ia tidak boleh diterima lagi untuknya memainkan peranan dalam proses politik lebih lama lagi kerana ia berat sebelah memihak kepada Israel," katanya.
"Ini adalah pendirian kami dan kami harap anda menyokong kami dalam hal ini."
- Reuters