Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Baitulmaqdis: Dr M harap Najib dapat pengaruhi Trump

Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengadakan himpunan di depan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) Jumaat ini bagi membantah keputusan negara itu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baru.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu berkata, HARAPAN berharap himpunan yang dijadual bermula selepas sembahyang Jumaat itu akan disertai masyarakat pelbagai kaum dan agama.

"Kita mahu perhimpunan bercorak pelbagai kaum dan agama, kerana masalah Palestin adalah isu kemanusiaan dan bukan tanggungjawab orang Islam sahaja.

"InsyaAllah semua pimpinan HARAPAN dan NGO akan bersama (hadir), termasuk pemimpin pelbagai agama," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Pada Jumaat lalu, sejumlah 1,000 orang termasuk dua kumpulan yang dipimpin PAS dan Pemuda Umno berhimpun di Kedutaan AS selepas sembahyang Jumaat bagi membantah keputusan Trump.

50 NGO Islam yang diketuai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula menyerahkan memorandum kepada kedutaan pada pagi hari yang sama.

Sementara itu, Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar cuba berbincang dengan Trump agar menarik semula pengiktirafan itu.

Najib kini berada di Turki bagi menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Pimpinan Najib rapat dengan Trump, maka saya berharap beliau yang hadir mesyuarat (OIC) berhubung isu ini akan termasuk dalam rombongan negara Islam untuk berjumpa Trump.

"Oleh kerana Trump itu sahabatnya, saya yakin Najib boleh mempengaruhinya," katanya.

Mahathir mengecam Trump yang disifatkannya sebagai "angkuh" kerana tidak mempedulikan pandangan antarabangsa berhubung soal itu.

"Saya yakin kalau bukan kerana Trump, (pemimpin AS) yang lain tidak akan melakukan perkara seperti itu. Dia salah besar, dia seorang presiden yang luar biasa yang membuat pelbagai (kenyataan dan tindakan).

"Saya harap tindakan boleh dibuat oleh negara-negara Islam untuk menangkis tindakan AS itu...dengan memberi gambaran mengapa Baitulmaqdis tidak harus diiktiraf sebagai ibu kota Israel," katanya.

Mahathir berkata HARAPAN akan memaklumkan himpunan itu kepada polis.

Walaupun mengakui undang-undang mewajibkan pemberitahuan dibuat dalam masa sepuluh hari, beliau berkata tidak melihat sebarang masalah untuk mengadakan himpunan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS