Paling Popular
Terkini
story images
story images

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mempersoalkan kos yang ditanggung kerajaan untuk melaksanakan Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka selama sebulan bermula 15 November hingga 15 Disember akan datang.

Rafizi berkata, semakannya mendapati tiada rekod di laman web perolehan Unit Perancang Ekonomi (UPE) kerajaan berhubung penganjuran ekspo tersebut.

"Daripada kesemua carian ini pada rekod rasmi perolehan kerajaan ia menunjukkan tidak ada sebarang rekod penganjuran Expo Negaraku dan lantikan PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd pernah melalui apa-apa proses tender mahupun rundingan terus,” katanya dalam sidang media di Pejabat Invoke di Sungai Besi, hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan supaya menjelaskan agensi mana yang bertanggungjawab membiayai kos tersebut.

Beliau turut menganggarkan ekspo berkenaan menelan belanja sekitar RM34 juta untuk dilaksanakan.

"Sebab itu dalam keghairahan Rahman (gambar, kanan) ingin mengalih pandangan masyarakat daripada isu pembaziran wang rakyat untuk menganjurkan Expo Negaraku yang mencecah puluhan juta ringgit sedangkan rakyat terpaksa mengikat perut. Beliau tidak boleh lari dari menjawab soalan penting.

"Iaitu berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk menganjurkan ekspo ini dan siapa yang membayarnya kerana tiada rekod dalam sistem perolehan kerajaan ini pernah melalui proses perolehan yang biasa di peringkat kementerian," kata Rafizi.

Rafizi turut mempersoalkan Rahman yang menurutnya tidak melaksanakan tugas sebagai menteri bertanggungjawab untuk hal ehwal ekonomi sebaliknya lebih banyak membodek Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu Abdul Rahman ketika menjawab di Dewan Negara pagi tadi berhubung kos Expo Negaraku berkata pihaknya telah menelan belanja sebanyak RM37 juta.

Katanya, kos itu adalah berpatutan dengan mengambil kira lokasi dan tempoh masa penganjurannya.

Expo Milano, kos RM21 juta

Beliau membandingkannya dengan Expo Milano yang pernah disertai kerajaan di Itali selama enam bulan yang menelan belanja sebanyak RM21 juta.

Katanya pengisian dan pameran dalam Expo Negaraku empat kali lebih banyak berbanding Expo Milano pada 2015.

“Saya nak umumkan, bahawa kos yang kita belanjakan untuk expo ini adalah RM37 juta dan jumlah ini adalah 0.08 peratus daripada RM46 bilion dana yang diuruskan oleh EPU.

“Jumlah ini adalah jumlah yang berpatutan memandangkan kita mengadakan (selama) sebulan di kawasan yang strategik dan bernilai iaitu Dataran Merdeka.

“Kalau dulu kita buat expo dunia di Milan kita belanja lebih kurang RM21 juta dan pengisian dalam Negaraku ini ada empat kali lebih banyak apa yang kita pamerkan di Milan,” katanya.

Malaysia pernah menyertai Expo Milano di Itali dari 1 Mei hingga 30 Oktober 2015. Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata expo itu telah dihadiri lebih 2.4 juta orang.

Expo itu juga menyediakan pelbagai keunikan makanan tempatan dan persembahan kebudayaan dan kesenian negara.


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS