Bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa pemimpin veteran parti itu, Lim Kit Siang, memang berhasrat mahu menjadi perdana menteri.
Dakwanya, Kit Siang enggan melepaskan kedudukannya dalam DAP iaitu untuk mengawal parti tersebut serta serta menyelamatkan anaknya, Lim Guan Eng, jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah.
“Sekarang Kit Siang perlu menjadi perdana menteri jika mahu menyelamatkan anaknya, Guan Eng daripada dihukum penjara kerana tuduhan rasuah.
“Selama ini Kit Siang berpura-pura menyokong orang lain (sebagai perdana menteri) untuk melencongkan pandangan umum dan menyembunyikan hasrat sebenarnya,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Kit Siang ialah tokoh yang dilihat sangat berpengaruh dalam DAP dan pernah menjadi setiausaha agung parti itu selama 30 tahun sebelum digantikan dengan mendiang Kerk Kim Hock.
Jawatan itu kini disandang Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.
Bukan ahli parlimen
Bagaimanapun untuk rekod ketika ini Kit Siang tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam parti.
Kata Tunku Abdul Aziz hasrat utama seseorang diktator ialah menjawat jawatan utama iaitu perdana menteri.
Kelmarin Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno menyindir Kit Siang yang didakwanya berminat menjadi perdana menteri.
Najib berkata Kit Siang tidak boleh berselindung disebalik seorang Melayu seperti yang dilakukannya sekarang.
Ekoran itu Tunku Abdul Aziz mendesak Kit Siang tampil dan menjawab kenyataan Najib itu dan tidak lagi berselindung di belakang orang Melayu, merujuk kepada dua pemimpin pembangkang sekarang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia kerana, kata Tunku Abdul Aziz, bekas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan anggota parlimen. Justeru katanya mereka tidak layak menjadi perdana menteri.
“Dr Mahathir, Datuk Ser Anwar bukan ahli parlimen, mereka tidak layak menjadi perdana menteri,” katanya.