Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ancam serang Zaid Ibrahim, Jamal direman 2 hari
Diterbitkan:  Dec 10, 2017 2:41 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes ugutannya terhadap Datuk Zaid Ibrahim.

Pemimpin gerakan Baju Merah itu ditahan malam tadi sejurus selepas tamatnya Perhimpunan Agung Umno 2017.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah mengesahkan penahanan Jamal dan berkata, beliau disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil.

Seksyen 504 Kanun Seksaan berhubung penghinaan dengan niat untuk membatalkan keamanan, manakala Seksyen 14 Akta Kesalahan kecil 1955 berhubung tingkah laku menghina.

Jumaat lalu, Jamal membuat ancaman terhadap Zaid ekoran kenyataan yang dibuatnya terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bertempat di perkarangan PWTC, Jamal yang lengkap berbaju Melayu hijau dan bersamping songket bersama sekumpulan penyokong membawa beberapa keratan patung Zaid, lalu membakar dan memukulnya dengan tukul besi.

Beliau juga mengancam "memburu" Zaid jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap beka menteri di jabatan perdana menteri itu, serta sanggup berhadapan apa-apa kemungkinan daripada tindakannya.

Ia berikutan kenyataan Zaid terhadap Sultan Selangor yang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang "sanggup membakar negara dengan kemarahannya".

Zaid menerusi Twitter kemudian berkata, Sultan Selangor harus lebih berhati-hati dengan kata-katanya dan terdapat kesan jika "Raja-raja bermain politik".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS