Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAU2017 I Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalannya pada tahun 2015, ramai yang menjangkakan Umno bakal 'meledak'.

Parti itu sebenarnya telahpun mengalami perpecahan apabila bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin bergabung untuk membentuk Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) pada 2016 bagi menentang Umno.

Namun dalam Perhimpunan Agung Umno ke-71 pada tahun ini, parti Melayu itu kembali dengan kekuatan baru atau sekurang-kurangnya itulah imej yang cuba digambarkannya.

Bagi Najib, pujian harus diberikan kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Dua tahun lalu timbalan saya pada masa tu buat angkara pula. Zahid tampil ke hadapan, dia pertahankan saya. Sebab itu Umno pulih dengan kekuatan yang baru," ucapnya.

Zahid menggantikan Muhyiddin dalam kabinet pada bulan Jun 2015.

Beliau kemudian menjalankan tugas timbalan presiden Umno selepas Muhyiddin digantung daripada parti itu pada Februari tahun berikutnya.

Pelantikan itu mengulangi semula sejarah yang mana Zahid pernah menjadi setiausaha politik Najib pada akhir 1980-an.

Foto-foto mereka semasa muda disiarkan di layar gergasi Dewan Merdeka semasa presiden Umno memberikan ucapan.

Pernah bantu kempen Zahid

Dalam ucapannya, Najib menceritakan pada 1988, Zahid yang ketika itu Ketua Pemuda Umno Bagan Datoh pernah meminta bantuannya semasa pemilihan parti.

"1988 masa tu ketua pemuda Bagan Datoh ditekan dengan begitu dahsyat oleh pimpinan bahagian Bagan Datoh ketika itu.

"Dan saya diminta Zahid tolong pergi rasmi bahagian pemuda Bagan Datoh, saya beranikan diri. Saya tahu pimpinan betul-betul menentang, saya tak kisah. Saya kata apa nak jadi jadilah, saya tetap pertahan.

"Saya telah beritahu secara terbuka, akhirnya Zahid menang. Tahu majoriti berapa? 11 undi. Kebetulan nombor bertuah saya," jelasnya.

'Biar berdentum guruh di langit'

Terdahulu, ucapan Zahid juga penuh pujian terhadap bosnya itu.

Ucapannya juga menyebabkan perwakilan bangun dan bertepuk tangan untuk Najib sebanyak dua kali, apabila Zahid menyatakan taat setianya kepada presiden parti.

"Selagi hayat di kandung badan, kesetiaan saya kepada presiden tidak berbelah bagi.

"Biar berdentum guruh di langit, biar kilat sambar menyambar, semangat saya takkan pudar," kata Zahid.

Kedudukan kedua-dua pemimpin itu semalam diputuskan selamat menjelang pemilihan parti tahun depan, apabila perwakilan meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi dalam Umno tidak dipertandingkan.

Laporan tambahan oleh Alyaa Azhar
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS