Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Hazmi Hassan, semalam membuat laporan polis selepas mendapat ancaman keselamatan susulan diugut di laman sosial.
Menurutnya, ugutan tiga individu berlainan itu dibuat melalui komen satu kumpulan dalam Facebook.
Lebih membimbangkan, kata Hazmi, salah seorang yang memberi komen berbentuk ancaman itu - dimuat naik semalam - ialah seorang bekas anggota keselamatan.
"Ugutan itu dibuat selepas satu tulisan saya yang bertajuk Semoga Nama Almarhum Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) Terus Hidup dimuat naik ke satu kumpulan Facebook.
"Saya hanya menulis tentang kebaikan dan kebijaksanaan politik tok guru Nik Aziz.
"Susulan itu saya menerima ugutan daripada tiga individu berkenaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Mengulas lanjut Hazmi atau lebih dikenali sebagai Jeming Hassan berkata, ugutan pertama diterima ialah berbentuk mengacam dengan peluru.
"Kedua, saya diugut dengan ugutan santau dan bedil (tembak), manakala ugutan ketiga berbentuk ugutan bedil dengan peluru hidup," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.
Dia kemudian diambil keterangan oleh pegawai polis semalam.
Hazmi mendakwa, apa yang dikesalkan ancaman itu di datang daripada seorang yang dipercayai bekas anggota polis.
"Salah seorang daripada mereka juga sudah bertemu saya dan memohon maaf atas perbuatannya, dan saya berharap dia akan membuat permohonan maaf secara terbuka.
"Selebihnya saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan penilaian peguam.
"Saya harap perkara ini tidak berulang dan kita tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan," jelasnya.