Datuk Zaid Ibrahim nampaknya kecewa apabila pemimpin pembangkang gagal mempertahankannya berikutan ancaman yang dibuat oleh Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos..
Sehubungan itu bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Nampaknya saya tiada kawan yang akan bersama saya dalam keadaan saya sekarang.
"Saya akan cuba jumpa TPM Zahid secepat yang boleh. Lagipun ini mengenai keselamatan nyawa saya dan keluarga saya," katanya menulis di Twitter.
Kenyataan itu dibuat selepas Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata Zaid perlu berdepan sendiri kesan kenyataannya di akaun Twitter berkenaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Ahli-ahli kami dibenarkan untuk menyatakan pendapat mereka tetapi mereka perlu menangani sebarang akibat yang timbul," katanya.
Pua berkata isu itu tidak ada kaitan dengan DAP kerana kenyataan itu tidak dibuat oleh parti itu dan Zaid tidak memegang sebarang jawatan dalam DAP.
Sebelum ini, Zaid, yang merupakan anggota DAP menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan beliau dan keluarganya berikutan ancaman Jamal untuk menyerangnya dengan menggunakan tukul.
Beliau juga meminta perlindungan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun.
Kepimpinan tertinggi DAP dan Pakatan Harapan (HARAPAN) termasuk Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad, juga dilihat berdiam diri berhubung ancaman Jamal terhadap Zaid.
Semalam, Pemuda BERSATU Selangor menuntut Zaid meminta maaf atas ucapannya dan meminta beliau tidak membuat kesilapan yang sama pada masa akan datang.