AirAsia Bhd melantik aktres dan pengacara televisyen, Noor Neelofa Mohd Noor (Neelofa), sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya.
AirAsia dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh ahli lembaga pengarahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes, berkata Neelofa merupakan penambahan yang baik kepada lembaga pengarah memandang pengalaman beliau sebagai usahawan, pencipta jenama dan inovator industri.
Beliau berkata Neelofa akan dapat menyuntik pandangan baharu kepada perniagaan AirAsia ketika syarikat itu melangkah ke arah penerbangan digital.
“Neelofa bijak, muda dan berdikari sendiri - ciri-ciri yang kami perlukan untuk membantu syarikat terus kekal dihadapan ketika kami bergerak ke arah menjadi satu daripada syarikat yang mencatatkan prestasi terbaik, paling diyakini dan dihormati di dunia.
“Reputasi beliau sebagai ahli perniagaaan wanita utama di Malaysia, salah seorang daripada segelintir rakyat Malaysia yang dinamakan oleh Forbes Asia dalam senarai ‘30 Under 30’ majalah itu dan rekod prestasi baik beliau memperjuangkan wanita dalam perniagaan adalah satu inspirasi kepada kami. Saya berharap dapat bekerjaa bersama-sama dengan Neelofa,” kata Fernandes.
Sementara itu Neelofa berkata pelantikan tersebut bukan sahaja satu pencapaian bagi beliau tetapi juga bagi semua wanita.
“Sejak tujuh tahun lepas, saya telah menceburi industri hiburan dan perniagaan yang menyediakan banyak peluang kepada saya untuk berkembang dan melakukan perubahan. Saya teruja untuk menggalas peranan baharu ini, mencabar diri saya sendiri untuk meningkatkan lagi prestasi diri dan pergi lebih jauh lagi.
“Saya juga teruja untuk mewakili Generasi Y dan menyuarakan pandangan kami bagi perniagaan,” katanya.
Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, AirAsia mengumumkan peletakan jawatan Aireen Omar dan Tharumalingam Kanagalingam daripada lembaga bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengarah bebas untuk meningkatkan tadbir urus korporat dan pematuhan.
Syarikat itu berkata langkah tersebut juga akan membolehkan Aireen dan Tharumalingam menumpukan kepada pelan transformasi dan pertumbuhan AirAsia.
- Bernama