Anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim perlu berdepan sendiri kesan kenyataannya di akaun Twitter berkenaan Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah, kata Pengerusi DAP Selangor Tony Pua.
Ditanya berkenaan pendirian DAP Selangor berkenaan isu itu, Pua menjawab: "Tiada pendirian" (No position).
“Anggota kita dibenarkan menyatakan pendapat mereka, namun mereka perlu berdepan dengan kesan yang diakibatkan kemudian.
Pua menambah kenyataan Zaid itu tiada kaitan dengan DAP kerana ia bukan dikeluarkan parti dan Zaid tidak pegang apa-apa jawatan dalam DAP.
Pemimpin atasan DAP juga berdiam diri berkenaan isu itu, termasuklah tindakan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang membakar poster Zahid serta mengugut memukul Zaid sekiranya polis tidak mengambil tindakan.
Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang lain termasuk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad turut memilih berdiam diri.
Umno Selangor sebaliknya akan menganjurkan himpunan Ahad ini bagi menyatakan sokongan terhadap sultan.
Zaid terus dikecam berkenaan kenyataannya di Twitter awal minggu ini. Semalam, Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa Zaid memohon maaf kepada Sultan Selangor.
Bekas menteri itu juga disiasat atas dakwaan hasutan berhubung kenyataannya.