Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rintihan doa Mahathir untuk Baitulmaqdis
Diterbitkan:  Dec 8, 2017 4:53 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata isu Palestin bukanlah isu Islam sahaja tapi juga isu kemanusiaan.

Mahathir berkata demikian sebagai reaksi terhadap Presiden AS Donald Trump yang mengiktiraf pemindahan ibu kota Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

“Ya Allah ya tuhan kami, dengarlah rintihan kami. Satukanlah hati kami. Selamatkanlah bumi Palestin dari tangan-tangan yang merosakkannya.

“Ini bukan sahaja isu islam tetapi isu kemanusiaan. An attack against Palestine is an attack against all of humanity. Kepada-Mu kami berserah,” katanya melalui kenyataan di laman sosial Facebook.

Bakar hati umat Islam

Sementara itu, dalam satu klip video yang disiarkan semalam di Facebooknya, Mahathir berkata tindakan Trump akan membakar hati ramai orang Islam dan akan menyebabkan lebih banyak keganasan terjadi di seluruh dunia.

“Tindakan ini akan membakar hati ramai orang Islam, dan saya percaya hasilnya lebih banyak keganasan berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Bekas pengerusi Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) itu menegaskan, keganasan akan berlaku lantaran rasa kecewa dan tiada jalan lain bagi menentang AS memandangkan negara Islam lemah dan tidak bersatu padu.

“Pengganas tiada cara lain, melainkan melakukan keganasan kerana mereka tiada tentera tersusun, tiada tentera laut dan udara.

“Ini adalah orang yang kecewa dan marah kerana tiada peluang lain untuk menentang AS kerana (mereka) terlalu kuat melainkan dengan cara ganas ini.

“Kita tidak sokong cara ganas dan tetapi kita tidak boleh buat apa-apa kerana dunia Islam lemah,” katanya.

Menurut Mahathir, Israel tidak berhak berbuat demikian dan tindakan mengiktiraf Jerusalem yang terletak di Baitulmaqdis sebagai ibu kota baru Israel akan menjejaskan usaha damai Israel dan Palestin.

Bekas perdana menteri itu juga berkata, Trump tidak dapat menangani Korea Utara dan menekan orang Islam di Timur Tengah lebih mudah bagi presiden AS itu.

“Tidak seharusnya sesiapa cuba mengambil alih negara mereka. Israel sudah tentu tiada hak berbuat demikian dan saya yakin, Israel akan bertindak seolah-olah Baitulmaqdis itu ibu kota mereka, bukannya Tel Aviv lagi.

“Inilah (dia) Trump, tidak dapat menangani Korea Utara tetapi melakukan yang lebih mudah adalah dengan menekan orang Islam di Timur Tengah,” katanya.

Tindakan keji

Di laman Twitter pula, Mahathir menandai (tag) akaun presiden AS itu bagi mengecam tindakannya yang disifatkan sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.

Mahathir juga menegaskan bahawa Malaysia seharusnya memimpin negara-negara Islam dalam mengecap tindakan pentadbiran Trump itu.

"Malaysia patut memimpin negara-negara Islam dalam mengecam tindakan Amerika yang mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel.

"This is against the international law. Tidak pernah lagi mana-mana presiden Amerika bertindak sekeji ini," katanya.

Pengiktirafan Trump terhadap Jerusalem sebagai ibu kota baru Israel dengan pemindahan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis mendapat kecaman pemimpin dunia.

Perdana Menteri British Theresa May menegaskan tidak akan berganjak dari keputusan menolak pengiktirafan itu dan berhasrat mengadakan perbincangan dengan Trump.

Ketua Gereja Roman Katolik Pope Francis pula menggesa agar identiti dan 'status quo' tanah suci bagi tiga agama itu - Islam, Kristian, dan Yahudi -dihormati bagi memastikan keamanan dunia. 

Presiden Perancis Emanuel Macron menyatakan kebimbangan berkenaan perkembangan itu dan menyatakan ia melibatkan keselamatan masyarakat dunia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres menekankan bahawa tiada alternatif lain dalam menangani isu konflik Israel-Palestin selain penyelesaian dua-negara (two state solution).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS