ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
'Inilah masanya Najib guna hubungan baik dengan Trump'

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya menggunakan hubungan baiknya dengan Presiden AS Donald Trump bagi menyampaikan bantahan terhadap pengiktirafan AS ke Baitulmaqdis sebagai ibu kota baru Israel.

Syed Saddiq yang terdahulu memimpin perwakilan Pemuda Harapan menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan AS di Kuala Lumpur berkata, Najib sebelum ini menggambarkan Trump sebagai kawan.

Menurutnya lagi, sesetengah pihak mendakwa Najib mempunyai “talian terus” (direct line) untuk menghubungi Trump.

“Sekiranya benar hubungan mereka rapat, Datuk Seri Najib seharusnya menggunakan hubungan baik dengan Trump bagi menekan agar tarik balik kenyataan (mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel) dan memastikan kita semua boleh bersatu menyelamatkan orang Islam di Palestin,” katanya kepada wartawan.

“Jika beliau (Najib) betul-betul rapat dan mempunyai pengaruh ke atas Trump, inilah masanya untuk gunakan,” kata Syed Saddiq yang diiringi Pemuda Harapan.

ADS

Bulan lalu, Najib menyiarkan gambarnya bersama Trump di akaun Twitter yang diambil ketika Sidang Kemuncak Peringatan ke-40 Asean-AS di Manila dengan keterangan: “Gembira bertemu kawan saya sekali lagi”.

Trump mengenepikan dasar berdekad AS pada Rabu lalu dengan mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel, tindakan yang akan menjejaskan usaha damai di Timur Tengah.

Status Jerusalem – tanah suci bagi orang Muslim, Yahudi, dan Kristian – merupakan salah satu halangan terbesar dalam persetujuan keamanan antara Israel dan Palestin.

ADS

Anggota Exco Pemuda DAP Muhammad Shakir Ameer turut mendakwa Najib “cakap besar” tentang hubungannya dengan Trump.

“Jadi inilah masanya beliau gunakan hubungan baiknya dengan Trump, bagi memaklumkan pendirian Malaysia,” katanya.

“Pengiktirafan ini mengancam semua. Bukan saja Muslim tapi semua orang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menambah memorandum mereka diterima pegawai kedutaan yang turut bersetuju mengadakan perbincangan berkenaan isu itu.

Turut hadir Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Sany Hamzan dan anggota exco pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Najib dalam ucapannya sebagai presiden dalam Perhimpunan Agung Umno semalam menggesa masyarakat Muslim seluruh dunia membantah keras sebarang pengiktirafan kepada Jerusalem sebagai ibu kota Israel.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS