Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puteri Umno lapor polis dakwaan anggotanya berkhalwat
Diterbitkan:  Dec 8, 2017 2:45 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Pergerakan Puteri Umno Malaysia membuat dua laporan polis di Balai Polis Dang Wangi hari ini berikutan dakwaan anggotanya berkhalwat ketika perhimpunan agung Umno 2017 yang sedang berlangsung ketika ini.

Ketua Penerangannya Haryaty Hamdzah berkata laporan itu dibuat susulan dakwaan bekas seorang anggota pergerakan itu yang disiarkan sebuah portal berita pembangkang kononnya banyak berlaku kes khalwat setiap kali perhimpunan agung Umno berlangsung.

“Kenyataan yang melampau, menjejaskan imej parti dan kepercayaan rakyat. Ia juga menjejaskan imej anggota muda terutamanya dalam Puteri Umno, Pemuda dan sebagainya.

“Ini mewujudkan persepsi baharu bahawa persidangan buat benda tak betul, harap pihak berkuasa buat siasatan kenyataan ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu hari ini.

Turut membuat laporan polis di balai yang sama ialah Ketua Puteri Umno Klang Norhaslindawati Bujang.

Haryaty berkata Puteri Umno juga bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat fitnah itu jika ada keperluan.

Beliau berkata kenyataan bekas anggota Puteri Umno yang kini bersama PAS itu tidak berasas kerana ketika perhimpunan itu, Puteri Umno memberi fokus kepada kepada agenda parti.

Kira-kira 10,000 anggota Puteri Umno hadir pada perhimpunan yang berlangsung dari Selasa hingga esok.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS