Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Gerakan Turun Harga Minyak, Turun Najib' (Turun Turun) merancang untuk mengadakan demonstrasi pada malam tahun baru nanti di Kuala Lumpur, dengan tujuan utamanya mendesak harga minyak diturunkan.

"Kami anak muda Malaysia akan meneruskan seruan agar kerajaan segera mengembalikan subsidi minyak pada kadar sewajarnya, agar harga siling dapat ditetapkan pada RM1.90 seliter bagi RON95 dan RM1.80 seliter bagi diesel," kata wakil kumpulan itu Nik Nazmi Nik Ahmad pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Demonstrasi itu akan diadakan pada pukul 11 malam 31 Disember ini, bermula di pusat membeli belah Sogo dan berakhir di Dataran Merdeka, katanya lagi.

Nik Nazmi yang juga ketua Pemuda PKR berkata, selain mendesak Najib dan harga minyak, mereka juga mahu kos sara hidup dan harga barangan diturunkan.

Gerakan itu dianggotai Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) dan NGO anak muda dan mensasarkan penyertaan 5,000 hadirin bagi demonstrasi itu.

Katanya, mereka telah merancang beberapa program bagi mempromosikan demonstrasi itu bermula Jumaat ini, yang mana edaran risalah akan dibuat di Masjid Negara selepas sembahyang Jumaat.

Mereka juga bercadang mengadakan himpunan pada 16 dan 23 Disember ini di Sogo pada jam 3.30 petang.

Gerakan tersebut menolak hujah kerajaan bahawa pengembalian subsidi minyak hanya membebankan ekonomi negara.

"Negara tidak akan dibebankan dengan subsidi, tetapi dengan pembaziran seperti yang sering dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara," katanya.

Harga minyak mingguan meningkat secara konsisten untuk tempoh enam minggu, mencecah tahap paling tinggi pada 15 November lalu dengan RM2.38 seliter (RON95), RM2.66 (RON97) dan RM2.25 (diesel).

Namun selepas itu, harga bagi RON95 dan ROn97 turun 8 sen manakala diesel turun 2 sen.

Harga minyak bagi minggu ini adalah RM2.29 seliter bagi RON95, RM2.57 (RON97) dan RM2.21 (diesel).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS