Adik lelaki kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat kejutan apabila muncul di Perhimpunan Agung Umno hari ini lengkap dengan berpakaian merah.
Jika semalam Azwan Ali berikrar untuk 'menjahamkan' Azmin di Selangor, hari ini pengacara kontroversi itu berkata beliau akan mendedahkan rahsia mengenai abangnya itu yang telah disimpan sejak sekian lama.
"Yang terbaru Azwan Ali mencabar Azmin Ali untuk buat sumpah laknat dan itu harus berlangsung bersaksikan tujuh imam dan saya akan terima,
"Dia akan terus nafi dan salah satunya (peristiwa) di dalam tandas," kata Azwan.
Bercakap kepada wartawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Azwan berkata kemunculannya di perhimpunan Umno sebagai hadiah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Azwan juga menyatakan beliau sudah lama mendendami abangnya dan memberi amaran akan menjatuhkannya sebagai menteri besar Selangor.
"Saya mahu ingatkan azmin jangan ingat saya berpura-pura. Jangan ingat saya dapat dedak. Barua Umno dibayar juta-juta, tidak. Allah yang mengaturkan saya.
"Dah lama saya dendam dengan Azmin tapi dia lupa amanah arwah Haji Ali.
"Kau ingat kau menteri besar kau hebatlah biar aku jatuhkan. Menteri lain tak berani jatuhkan jadi aku jatuhkan," katanya kepada media.
'Jahanamkan Azmin di Selangor'
Pada kemunculannya hari ini, Azwan ditemani oleh ketua bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang juga merupakan seteru ketat abangnya.
Azwan berkata dia menyimpan dendam hampir lima tahun dengan Azmin kerana sikapnya yang dianggap tidak menghargai jasa adik beradik.
"Saya simpan selama lima tahun. Apa jenis abang kau menang besar, aku jual maruah aku sebagai artis, aku hilang pekerjaan, RTM hitamkan aku sebab aku datang macam ini berdiri di belakang Azmin sebelum ini," katanya.
Semalam, video ucapan Azwan menjadi tular di media sosial.
Dalam video berkenaan, Azwan berkata beliau berhasrat bertemu Perdana Menteri atau Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.
"Bukan nak habuan dia, bukan nak bodek dia, tapi janji saya, saya ada sejuta idea, untuk, tajuk dia, jahanamkan Azmin seluruh selangor.
"Bukan saja di Bukit Antarabangsa, bukan saja di Gombak. Saya sanggup turun padang jual ikan jual apa semua, saya ada banyak program yang saya dah terfikir yang Khairy (Jamaludin) pun akan tersenyum," katanya.
Azmin merupakan wakil rakyat Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak.
Sebelum ini Jamal mengumumkan hasrat untuk bertanding menentang Azmin di Bukit Antarabangsa pada pilihan raya umum akan datang.
Azwan berkata beliau tidak peduli jika selepas ini digelar sebagai barua Umno tanpa menerima sebarang bayaran.
"Hidup Datuk Seri Najib, hidup PM, jahanamkan Azmin, that is my oath (Ini sumpah saya)," katanya mengakhiri video tersebut.
Razali, yang juga anggota majlis tertinggi Umno, sebelum ini dipetik sebagai berkata beliau bersedia bertemu dengan Azwan.