Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menyifatkan portal lidah rasmi PAS sebagai “busuk hati” kerana menyiarkan dakwaan sentiasa berlaku khalwat ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU).
Annuar berkata tindakan Harakahdaily menarik balik berita tersebut juga dengan sendirinya memalukan diri sendiri.
“Perkara itu memalukan diri sendiri.
“Kita kalau buat berita kena ada kualiti, rakyat yang membaca berita bukan semua macam kita orang politik, mereka boleh menilai.
“Jadi bila buat posting benda tak munasabah nampak sangat hati itu busuk tapi, tak menguntungkan,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017, hari ini.
Annuar diminta mengulas tindakan Harakahdaily yang menarik baik berita dakwaan bekas ketua Puteri Umno Klang Wan Ashima Kamaruddin bahawa berlakunya kegiatan maksiat ketika PAU.
Timbalan Ketua Pengarang Harakahdaily Azmi Yusof memberitahu berita itu ditarik balik kerana dakwaan tersebut datangnya dari Wan Ashima, bukannya PAS.
Azmi juga berkata pihaknya terlepas pandang secara teknikal dalam pemilihan berita menyebabkan ia perlu ditarik balik.
Annuar ketika ditanya sama ada Harakahdaily perlu membuat permohonan maaf berkata ringkas:
“Tak perlu komen”.
Annuar turut berkata Harakahdaily tidak mengikut prinsip agama kerana menyiarkan berita berunsur fitnah tanpa asas yang kukuh.
“Boleh ke kita nak pakai Harakah, negara kita kalau ikut cara PAS, Harakah apa nak jadi.
“Adakah kita nak ikut cara Harakah, prinsip asas agama dia tak boleh ikut, dalam agama orang tak buat fitnah, tak buat tuduhan kalau tak ada asas.
“Apa yang nak dikaitkan dengan orang yang sedang bermesyuarat dengan kerja orang lain yang (maksiat). Pada saya kebudak-budakan, benda itu tak payah dilayan,” kesalnya.
PAU 2017 bermula semalam sehingga 9 Disember 2017 ini di PWTC, ibu negara.