Pakatan Harapan (HARAPAN) sedang mempertimbangkan tindakan seterusnya dalam berdepan risiko Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) dibatalkan pendaftaran kerana tidak mengadakan perhimpunan agung tahunannya.
Kemungkinan BERSATU tidak mempunyai logo untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 telah dibincangkan semasa retreat dua hari HARAPAN minggu lepas.
Namun sebarang perbincangan mengenai perkara itu hanya dijangka berlaku dalam masa dua minggu akan datang di mesyuarat majlis presiden HARAPAN.
Ketua Whip Parlimen PKR Datuk Johari Abdul berkata masalah itu terus diburukkan lagi dengan pendaftaran HARAPAN, meningkatkan kemungkinan parti komponen itu tidak dapat bertanding di bawah logo gabungan bersama.
"Kami diberitahu oleh BERSATU bahawa mereka belum mendapat pengesahan daripada Pendaftar Pertubuhan pada kedudukan mereka sekarang.
"Walaupun mereka diluluskan pada saat-saat akhir, kami tidak boleh jual (mempromosikan) logo mereka dalam masa yang singkat," kata Johari (gambar) kepada Malaysiakini.
Beliau berkata alternatif yang ada adalah BERSATU bertanding di bawah logo sama ada PKR atau DAP.
Selain masalah dengan BERSATU, Johari berkata terdapat juga cadangan agar parti komponen HARAPAN bertanding di bawah logo tunggal, walaupun HARAPAN tidak dapat didaftarkan sebagai gabungan rasmi.
Jika ini berlaku HARAPAN perlu memilih logo daripada salah satu daripada empat parti komponen tersebut.
'Belum buat kesimpulan'
"Tetapi kami belum buat kesimpulan lagi. Cadangan di atas meja - kami gunakan satu atau dua atau tiga logo, atau ia mungkin berakhir setiap parti menggunakan logo sendiri," katanya.
Bagaimanapun, DAP tetap menegaskan untuk menggunakan logo sendiri jika ia tidak boleh bertanding di bawah bendera HARAPAN.
"Kami hanya mahu gunakan logo Harapan, jika itu tidak mungkin, kami akan gunakan roket kami sendiri," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kepada Malaysiakini.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad (gambar) berkata parti komponen HARAPAN yang lain telah membangkitkan isu itu, tetapi menambah partinya hanya akan membincangkannya di majlis presiden.
"Walaupun kita mahu bincangkannya, kita perlu mengkaji kebaikan dan keburukan dan menunggu majlis presiden membincangkannya," kata Khalid.
Pada PRU-13, DAP juga menghadapi isu tidak dapat bertanding di bawah logonya sendiri setelah kesahihan status parti itu dipersoalkan, berikutan isu-isu pada pemilihan parti itu.
Pada pilihan raya itu, calon DAP diberikan dua borang pencalonan, satu daripada DAP dan satu lagi daripada PAS dan PKR.
Parti itu akhirnya berjaya bertanding di bawah logonya sendiri setelah tidak menghadapi sebarang bantahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).