Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berucap di perhimpunan terakhir Umno sebelum menyertai pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan berani berkata Putrajaya akan kekal menjadi milik mereka.

Kata naib presiden Umno itu parti terbabit tidak boleh tewas dan tidak boleh membiarkan Putrajaya dikuasai lawan pada PRU akan datang.

"Umno tidak boleh kalah! BN tidak boleh tewas!

"Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan! Insya-Allah Putrajaya akan terus menjadi milik kita - milik Umno dan Barisan Nasional," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian tiga sayap parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur malam ini.

Seperti biasa Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno bersidang sehari lebih awal sebelum perhimpunan agung tahunan membuka tirainya Khamis ini.

Kata Zahid gerang PRU ke-14 semakin hampir dan mengikut perkiraan PRU lalu, tempoh mandat kerajaan semasa akan berakhir pada Jun tahun depan.

Dengan kata-kata bersemangat Zahid berkata Umno akan mendepani cabaran pembangkang pada PRU akan datang dengan mentaliti utuk menang.

"Datanglah Januari, datanglah Mac, atau bulan apa pun, kita akan hadapinya. Yang penting, kita harus memiliki winning mentality.

"Kita tidak akan berpaling atau berundur walau setapak pun!

"Obor perjuangan yang kita bawa bersama persis kisah Tariq ibni Ziyad yang tidak lari dari peperangan akan kita terjemahkan. Namun, berpaling tidak sama sekali!," katanya memetik nama panglima perang Islam dari kerajaan Umayyah yang berjaya menakluk Semenanjung Iberia.

Kata Zahid Umno kekal sebagai sebuah parti politik yang relevan pada hari ini berbanding parti lain, malah mempunyai keistimewaan kerana tidak pernah sekali pun tewas dalam PRU sejak 1955.

"Kita bukan riak, jauh sekali mahu bersikap takabbur. Ini adalah fakta yang sama sekali tidak boleh disangkal.

"Mudah-mudahan Allah akan memberikan kemenangan pada pilihan raya yang akan datang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS