Kerajaan Malaysia dikatakan tidak membalas permintaan Bank Dunia untuk memasukkan isu 1MDB sebagai kajian kes dalam Forum Global Mengenai Pemulihan Aset (Gfar).
"Bank Dunia, yang menjadi tuan rumah Gfar, berusaha memasukkan 1MDB sebagai kajian kes tetapi Bank Dunia hanya boleh melakukannya dengan pengesahan kerajaan Malaysia, yang mana ia tidak berlaku," kata Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 ) Cynthia Gabriel.
Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Cynthia berkata kerajaan tidak menolak permintaan itu, namun mereka tidak menjawabnya.
Beliau berkata C4 terlibat dengan Gfar sejak awal memandangkan NGO itu turut terlibat dalam Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCAC).
"Apabila saya tanya kepada Bank Dunia mengenai 1MDB, kami diberitahu bahawa tidak ada respon daripada kerajaan," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Bank Dunia untuk mengesahkan maklumat tersebut dan sedang menunggu maklum balas mereka.
Oleh kerana 1MDB tidak disertakan sebagai kajian kes di Gfar, beliau berkata ia menghalang pengamal undang-undang dari Malaysia menyertai forum yang diadakan di Washington DC pada 4 Disember.
"Kami sangat kecewa kerana kerajaan Malaysia telah mengabaikan dan memingirkan 1MDB dalam forum ini. Akibatnya, pendakwa, peguam, masyarakat sivil dan semua di Malaysia tidak boleh menyertai acara tersebut.
"Kami telah dinafikan untuk mengambil bahagian penting dalam pemulihan aset yang dicuri," katanya.
Malaysia juga merupakan penandatangan Uncac yang bercakap mengenai kerjasama antarabangsa dan Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Kerajaan abai tanggungjawab
Enggan mengakui dan bekerjasama dengan badan-badan antarabangsa dalam pemulihan aset yang dicuri, beliau berkata kerajaan mengabaikan tanggungjawabnya di bawah konvensyen itu.
"Kami mendesak dan menuntut agar Peguam Negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) membuka siasatan ke atas 1MDB, berdasarkan ucapan terbaru di Gfar oleh Peguam Negara AS (Jeff Sessions), yang menunjukkan bahawa kes itu masih aktif dan merupakan kes kleptokrasi terbesar.
"Itulah yang dia (Sessions) katakan; bahawa ini adalah kleptokrasi paling buruk,"katanya.
Terdahulu, Sessions menyifatkan dakwaan penyalahgunaan dana daripada 1MDB sebagai "kleptokrasi paling buruk".
Bercakap di Gfar, beliau mendedahkan hampir separuh daripada kutipan rasuah AS$ 3.5 bilion yang dirampas oleh kerajaan Amerika Syarikat setakat ini datang dari saman pelucuthakan sivil yang berkaitan 1MDB.