Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bekas bosnya - Datuk Seri Najib Razak - bertindak keterlaluan apabila bercakap mengenai pertumpahan darah.
Menurut presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu jika isu sama dimainkan oleh orang lain, sudah tentu mereka akan dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan.
"Tuan-tuan fikir... kalau Hindraf kata orang Hindu (kena) bangun shed blood (tumpahkan darah), MCA kata shed blood, DAP kata shed blood, (tapi) semua tak cakap.
"Yang cakap ini, ketua negara (Najib)," katanya dipercayai merujuk kepada hantaran terkini perdana menteri di blognya.
Dalam kemas kini itu Najib memberi pandangan menjelang Perhimpunan Agung Umno ke-71 yang akan bermula secara rasmi dengan persidangan sayap parti pada malam esok.
Kata presiden Umno itu kesemua kejayaan negara ini tercipta hasil perjuangan Umno - atau lebih tepat lagi - hasil kesanggupan, hasil titisan darah dan keringat, hasil kesetiaan dan wala' tidak berbelah bahagi kesemua anggotanya.
"Kerana Umno adalah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat, memperjuangkan nasib rakyat. Umno adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia. Umno adalah parti rakyat, hak dan milik ahli-ahlinya, bukan parti milik mana-mana individu," kata Najib.
Pesanan Dr Mahathir bergema
Menurut Muhyiddin yang pernah menjadi timbalan kepada Najib sebelum beliau dipecat, apa yang diungkapkan perdana menteri lebih serius daripada menghasut.
"Ini lebih daripada sedition," katanya.
Justeru menurut Muhyiddin beliau ingin tahu sama ada polis akan mengambil tindakan terhadap Najib.
"saya nak dengar sama ada ketua polis akan kata (kepada Najib), apa yang anda nyatakan itu sama seperti menghasut dan kami akan dakwa anda walaupun anda perdana menteri," katanya.
Muhyiddin bercakap demikian semasa menghadiri ceramah BERSATU di Ipoh malam tadi.
Majlis itu sepatutnya dihadiri pengerusi parti berkenaan, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang jelas masih mempunyai pengaruh besar di kalangan orang Melayu.
Bagaimanapun menurut anaknya yang juga timbalan presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas perdana menteri keempat Malaysia itu tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.
Untuk tidak menghampakan penyokong mereka, satu rakaman pesanan daripada Dr Mahathir dimainkan dalam ceramah berkenaan.
Akta Hasutan 1948 (atau juga dikenali sebagai Akta 15) antara lain memperuntukkan hukuman kepada sesiapa yang didapati melakukan kesalahan cenderung menyebabkan kebencian atau penghinaan melalui perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau seumpamanya terhadap raja, kerajaan atau sesama kaum di dalam negara.
Jika disabitkan kesalahan pihak terbabit boleh dihukum denda dan penjara.