Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata para perwakilan Persidangan Agung Umno (PAU) yang terakhir sebelum pilihan raya umum ini perlu sedar akan kepentingan bangsa lain
"Apa yang penting negara kita adalah negara masyarakat majmuk biarpun kemelayuan menjadi landasan, kita jangan lupa kepada agama dan budaya bangsa-bangsa lain.
"Saya harap para perwakilan akan melihat bahawa kemajmukan ini menjadi asas, biarpun kita (Umno) menjadi akar tunjang kepada Barisan Nasional.
"Kita tidak melupakan rakyat yang pelbagai susun lapis dalam masyarakat," kata belia dalam wawancara yang disiarkan Astro Awani malam ini.
Dalam wawancara yang telah direkod itu, Zahid bercakap tentang meremajakan semula Umno dan menegaskan pintu parti itu terbuka kepada calon-calon muda untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 ini.
Tak semestinya hierarki parti tentukan calon
"Apa telah berlaku di pilihan raya kecil Sarawak umpamanya, tak semestinya hierarki dalam parti itu jadi asas dalam pemilihan calon umpamanya.
"Insya-Allah ini akan berlaku (pada PRU-14)," kata beliau.
Zahid mahukan ahli-ahli Umno agar terlatih dan bersiap-siaga menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Mandat Parlimen sekarang ini akan berakhir pada Jun tahun hadapan jika pilihan raya tidak dibuat sebelum tarikh luput itu.
Sebuah pilihan raya mesti dibuat dalam masa 60 hari selepas pembubaran Dewan Rakyat.
Persidangan Agung Umno (PAU) yang ke-71 akan berlangsung dari 5 ke 9 Disember 2017 ini.