Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 doktor calon PM, TPM dari HARAPAN untuk Malaysia

Cadangan untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai timbalan kini didakwa hanya menunggu kelulusan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anggota Biro Politik PKR Datuk Johari Abdul yang dihubungi mengesahkan cadangan itu dibuat ketika pemimpin kanan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengadakan pemukiman dua hari di Putrajaya mulai Jumaat lalu.

Bercakap kepada Malaysiakini Johari yang juga anggota parlimen Sungai Petani berkata langkah mendapatkan restu daripada Anwar itu dibuat memandangkan beliau adalah ketua umum pakatan berkenaan.

"Anwar ketua umum. Anwar (kata) OK, kita OK," katanya hari ini.

Isu kepimpinan dan calon perdana menteri menjadi satu daripada faktor yang banyak diperdebatkan ketika tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 semakin menghampiri.

Untuk rekod Dr Mahathir ialah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merangkang pengerusi HARAPAN. Dr Wan Azizah pula dipilih sebagai presiden gabungan empat parti pembangkang itu.

Difahamkan pemukiman HARAPAN menyarankan gabungan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika mereka berjaya mengetepikan BN daripada kekuasaan untuk kali pertama sejak merdeka.

Sebelum ini Anwar dikemukakan sebagai calon perdana menteri pembangkang, namun kedudukannya yang masih ditahan di penjara tidak memungkinkan beliau dilantik ke jawatan berkenaan serta-merta.

Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 dan pada sebahagian tempoh itu Anwar pernah menjadi timbalannya.

Anwar dijangka dibebaskan dari penjara pertengahan tahun depan tetapi undang-undang semasa melarangnya memegang atau terlibat dalam politik selama lima tahun.

Kata Johari langkah mendapatkan restu daripada Anwar itu dibuat sebagai menghormati bekas timbalan perdana menteri itu.

Selain PKR dan BERSATU gabungan HARAPAN turut dianggotai DAP serta Parti Amanah Negara (AMANAH).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS