ADS
mk-logo
Berita
Angin kencang halang acara ratu cantik di Langkawi

Percubaan melakarkan rekod baharu Malaysia bagi pertunjukan peragaan fesyen pada aras tertinggi di Skybridge Langkawi hari ini terpaksa dibatalkan ekoran keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Acara yang ditunggu-tunggu dan disertai 50 peserta Miss Tourism International 2017 itu dibatalkan selepas Panorama Langkawi Sdn Bhd, pengendali tarikan pelancongan di atas gunung itu, melaporkan berlaku tiupan angin kencang di kawasan tersebut.

Bernama difahamkan keadaan angin kencang memaksa pengusaha menghentikan sementara operasi Langkawi Skycab, iaitu sistem kereta kabel yang menghubungkan Langkawi Skybridge setinggi hampir 700 meter dengan Oriental Village di kaki Gunung Machinchang.

Susulan pembatalan acara tersebut, peserta ratu cantik dibawa merasai pengalaman pelbagai tarikan di Oriental Village, antaranya Muzium 3D Langkawi dan SkyRex Langkawi.

Lawatan ke Skybridge Langkawi dijadualkan pada hari kedua pertandingan itu di sebuah resort di pulau ini selepas jadual yang padat sebaik mereka tiba dari Kuala Lumpur semalam.

ADS

Mata air panas di Kampung Air Hangat

Peserta turut dibawa melawat ke Kampung Air Hangat bagi merasai mata air masin panas serta menunjukkan kemahiran mereka menghasilkan kraftangan di Kompleks Kraf Langkawi.

Mereka juga dibawa menikmati pelayaran makan malam sambil memerhatikan matahari terbenam sebelum memulakan program pada hari kedua pertandingan dengan sesi yoga dan bermain jet ski di Paradise 101, di sebuah pantai buatan di Langkawi.

Sesi bergambar pula diadakan di Dataran Lang di sini pada tengah hari sebelum peserta menghadiri majlis makan malam gala dan pertunjukan bakat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, malam ini.

Pada majls makan malam itu, peserta akan diadili untuk dipilih sebagai peserta terbaik sepanjang lawatan di pulau ini bagi dinobatkan sebagai Duta Pelancongan Langkawi 2017.

Kunjungan peserta pertandingan itu ke Pulau Langkawi, anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi, merupakan sebahagian daripada aktiviti 18 hari peserta pertandingan itu, dan pemenangnya akan dimahkotakan dalam majlis di Kuala Lumpur, 6 Disember ini.

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS