Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pertemuan antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras semalam bukan sekadar ziarah selepas pembedahan, tetapi terdapat juga perbincangan mengenai pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ada dua tujuan (pertemuan). Pertama Pertemuan Guan Eng untuk bertanya khabar mengenai kesihatan Anwar. Kita tahu dia baru menjalani pembedahan dan masih di hospital serta menjalani fisioterapi.

“Kedua ada perbincangan mengenai persediaan HARAPAN menghadapi PRU akan datang,” kata anggota Parlimen Puchong Gobind Singh dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Gobind berkata demikian susulan Guan Eng menziarahi Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras, semalam.

Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan liwat kali kedua menjalani pembedahan di bahu kanan selepas cedera dalam kemalangan ketika berada dalam kenderaan Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau turut dilawati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Zahid Hamidi.

Pemukiman di Putrajaya

Sementara itu, Gobind turut berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengadakan pemukiman secara tertutup di Putrajaya, esok dan polisi serta objektif mengenai gabungan itu akan diumumkan kelak.

“Seperti sedia maklum HARAPAN akan mengadakan pemukiman esok melibatkan pemimpin tertinggi empat parti berkaitan polisi, objektif gabungan yang akan diumumkan kelak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS