Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengingati rakyat negeri itu betapa musibah banjir yang sedang dialami mereka adalah ujian Allah bagi menguji keimanan dan kesabaran.
Sehubungan itu, menurut beliau, semua pihak perlu memastikan keselamatan keluarga khususnya anak-anak kecil diutamakan dan menjauhi risiko berbahaya.
"Maklumkan dalam kadar segera kepada pihak keselamatan jika berlaku apa jua kemalangan yang tidak diingini.
"Dalam situasi hujan yang masih tidak menentu dan air didapati naik dengan cepat di beberapa lokasi.
“Saya berharap kepada mereka yang tinggal di kawasan rendah hendaklah membuat persiapan berpindah seberapa segera sebelum menjelang waktu malam.
"Ini bagi memudahkan pihak berwajib mengendalikan urusan di pusat pemindahan selain keselamatan nyawa mestilah diutamakan," katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu, Kelantan dilaporkan mencatatkan hampir 1,000 mangsa banjir yang sudah di tempatkan di pusat pemindahan antaranya di daerah Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kuala Krai sejak kelmarin.
Sementara itu, Ahmad menyeru semua pihak kepimpinan dan rakyat khususnya pihak yang berwajib agar menganjurkan solat hajat dan bermunajat di seluruh masjid dan surau seluruh Kelantan.
"Ia bagi memohon kepada Allah agar dilindungi rakyat negeri ini daripada segala musibah banjir yang tidak mampu dihadapi oleh kudrat manusiawi.
"Semoga situasi banjir di negeri ini tidak berpanjangan dan mereka yang berada di pusat pemindahan dapat pulang ke rumah masing-masing dengan selamat," katanya.
Tambah beliau, orang ramai boleh merujuk maklumat semasa banjir di Kelantan bagi membuat persediaan melalui laman http://ebanjir.kelantan.gov.my/p_pmrpt04.php dan Publicinfobanjir.water.gov.my.