Paling Popular
Terkini

ULASAN l Selain daripada mencuri Koh-i-Noor - permata biru yang terdapat pada mahkota maharani mereka - Inggeris juga mencuri perkataan jungle yang asalnya dari bahasa urdu.

India sebuah negara yang mempunyai kadar keluaran dalam negara kasar paling tinggi di dunia satu masa dulu dan kini tinggal jadi sebuah wilayah yang huru-hara dalam semua hal.

Politiknya adalah jahat apabila sentimen bangsa dan agama dimainkan ke tahap maksimum. Rakyat dijadikan buah catur yang diadu sesama mereka.

Korupsi dalam kerajaan adalah rahsia yang diketahui ramai dan rakyat tidak boleh berbuat apa -apa.

Sistem kasta yang masih berleluasa menjamin kemunduran banyak marhein.

Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin membanting tulang siang dan malam hingga mati, dan berharap nasib akan lebih baik dalam kelahiran yang satu lagi.

Inggeris mungkin bersalah mencuri banyak harta negara ini namun kesalahan terbesar semestinya diletakkan di atas kepala para politikus selepas Inggeris.

Tak ada sesiapa peduli

Mungkin ada satu atau dua politikus yang benar-benar mahukan negara ini maju, namun sebahagian besar daripada politikus yang ada lebih gemar mengumpul harta untuk diri sendiri dan keluarga serta musibat yang hampir.

Undang-undang jalan raya di India hanyalah suatu jenaka. Lampu isyarat adalah hiasan yang tidak diperlukan.

Langsung tidak ada siapa pun mengormati undang-undang jalan raya. Kamu bebas berbuat apa sahaja. Mahu jalan terus atau melawan arus di jalan sehala - silakan.

Mahu berhenti tiba-tiba dan/atau membelok sesukahati - buat saja kerana tiada siapa peduli.

Jika belaku kemalangan, berkelahi saja dan semua akan selesai.

Di jalan raya yang dipenuhi manusia, lembu, kambing, anjing, babi, kereta keldai, kereta unta, lori, bas, kereta, traktor dan segala macam kenderaan lain, siapa yang punya hon paling kuat ialah raja.

Kebersihan adalah impian. Segala macam kotoran berselerak merata-rata. Mahu buang sampah, buang saja di mana suka.

Masjid, kuil berjiran

Mahu buang air, cari saja mana-mana dinding dan mulakan. Nombor satu atau nombor dua.

Bukan tidak ada pekerja bandaran yang berusaha namum apabila semua orang adalah tukang kotor - termasuk pekerja bandaran yang ditugaskan untuk membersih - maka bersih adalah kerja sia-sia (pun intended).

Yang baiknya (jika boleh dikatakan baik) ialah apabila kuil memainkan musik sepanjang hari 24 jam tanpa henti dengan amat kuat tanpa ada bantah dari penduduk beragama Islam.

Begitu juga azan masih bebas berkumandang juga tanpa ada apa-apa rusuhan dan sakit hati daripada mereka yang belum beriman.

Masjid dan kuil biasanya jika tidak bersebelahan, adalah berdekatan.

Dalam soal makan pula, memang menjadi kehairanan mereka apabila kita bertanya sama ada makanan yang dijual itu adalah halal atau tidak, kerana mereka - yakni rakyat tempatan - melanggani semua kedai tanpa syak.

Walau bagaimanapun, makanan dan minuman yang dikongsi itu biasanya daripada jenis biskut dan kek serta chai, iaitu teh panas campur susu kerbau yang lazat.

Mungkin - diulangi: mungkin - kerana mereka sangat menjaga ketulenan makanan yang dinyatakan sebagai vegetarian.

Sebarang kecuaian dalam menyediakan makanan di luar daripada apa yang dilebelkan adalah dosa besar.

Sedikit ke depan

Andai kata kita dapat memastikan semua makanan yang dilabelkan halal di negara kita memang adalah benar-benar halal, pasti kita semua akan hidup lebih aman.

Masalah utama orang Islam di India ialah tidak taatnya mereka melakukan sembahyang lima waktu. (Sebenarnya, ini adalah masalah utama semua umat Islam di seluruh dunia. Keyakinan yang sembahyang boleh menyelesaikan apa juga masalah kini tidak lagi dipandang sebagai benar.)

Di sinilah malangnya mereka. Sebahagian besar mereka tidak bersembahyang. Yang miskin, kerana sibuk mencari wang, sedang yang kaya berasakan sembahyang cuma membuang masa dan tidak menyumbangkan apa-apa kepada kekayaan mereka.

Namun begitu, semua masjid di India melakukan kerja mengajak orang Islam kembali kepada ajaran agama dengan giat.

Setiap hari setelah Isyak, mereka akan bermesyuarat ringkas sekitar 20 hingga 30 minit bagi membincangkan hal-hal dalam kawasan mereka.

Tentang siapa yang tidak bersembahyang dan siapa yang perlu diziarahi, misalnya.

Apabila difikir, kita pun menuju jalan sama. Selepas Inggeris mencuri hasil negara, kita ditinggalkan oleh politikus yang nampak seperti benar-benar mahukan negara kita maju.

Dalam sedikit hal, mereka berjaya dan kita telah lebih sedikit ke depan berbanding India dal hal-hal yang minor.

Namun, mereka yang selepas itu adalah tidak kurang lebih daripada politikus India. Mencuri kekayaan negara untuk diri, keluarga dan rakan seusaha.

Pengguna jalan raya kita juga sedang menuju ketidak-displin-an rakyat India.

Melanggar lampu isyarat sesuka hati dan bergaduh apabila berlaku kemalangan. Malah kita lebih sedikit apabila ada yang meninggal dunia akibat pergaduhan jalan raya.

Kumpulan konvoi motosikal pula berasakan bahawa apabila mereka di jalan raya, penguna lain patut memberi laluan kepada mereka tanpa perlu peduli keselamatan orang lain.

Mungkin dari segi kebersihan kita masih lagi menghargai keindahan. Maka negara kita tidak sekotor bandar-bandar di India. Kita juga masih ada malu untuk kencing dan berak merata.

Rakyat negara kita saban hari dilaga-lagakan supaya pemegang tampuk politik kekal disokong majoriti.

Kita sebagai penyokong yang dungu ini pun bergaduh mempertahankan ketua-ketua partai yang kononnya berjuang untul kepentingan kita.

(Sebab itu apabila saya menulis di Malaysiakini, kamu tuduh saya DAP, penyokong LGBT, sekular, liberal... baser.)

Politik adalah jahat. Diulangi: politik adalah jahat dan kita adalah bajingan yang tolol apabila asyik menyokong tanpa peduli betul benar, salah serta bohong politikus yang kita kagumi.

India dalam perjalanan untuk menjadi kuasa besar dunia sekali lagi jika dilihat pada potensinya hari ini, namun sementara menunggu itu berlaku, ia adalah negara malang yang hidup dalam kegemilangan masa lampau.


Abdullahjones ialah penulis, penyair, pelukis serta jurufoto yang sedang mengembara di Palwal, India bagi mendalami ilmu pehlwani, sejenis seni gusti mempertahankan diri.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS