Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mendakwa kenyataannya berkenaan pelajar yang disifatkan sebagai 'slow learner' yang diberikan peluang belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah disalah tafsir sesetengah pihak.
Dalam satu kenyataan, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata dalam ucapannya pada Sabtu lalu di Anugerah Nadi Negara 2017, beliau cuba menjelaskan sejarah perkembangan bumiputera Melayu sebelum pengenalan Dasar Ekonomi Baru pada 1971.
Mengiktiraf peranan UiTM dalam membantu pelajar Melayu bumiputera, termasuk mereka yang ketika itu cuma memiliki kelayakan minimum, Tengku Adnan menegaskan kejayaan mereka juga adalah hasil sumbangan Umno dan BN.
“Hakikatnya Umno dan BN telah menyedari peningkatan (jumlah) Melayu bumiputera yang sebelum ini ketinggalan atau 'lambat' kerana faktor kemiskinan.
“Adakah Umno sudah dilupakan? Ini yang saya cuba jelaskan secara spontan melalui ucapan saya yang mungkin tidak disampaikan dengan baik,” katanya.
“Jika terdapat kesilapan teknikal dalam ucapan itu, itu adalah kelemahan manusia biasa dan ia boleh terjadi kepada sesiapa saja,” tambahnya.
Meskipun Tengku Adnan tidak merujuk kepada pihak tertentu, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam membidas kenyataan Ku Nan sebagai 'cetek' dan penghinaan kepada ribuan pelajar yang pernah menuntut di UiTM.
"Anda dapat masuk universiti, kalau 'slow learner' (boleh) masuk ITM (UiTM). Kadang kala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti,” kata Tengku Adnan kepada sekumpulan pelajar di Kuala Lumpur sebelum ini ketika menegaskan sumbangan Umno kepada golongan muda Melayu sekian lama.
Sementara itu, Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee medawa kenyataan Tengku Adnan diputar-belit untuk menggambarkan beliau menghina masyarakat Melayu.
"Penubuhan UiTM adalah perjuangan dan keringat UMNO, mana mungkin pula Kun Nan (pemimpin UMNO) berniat untuk menghina? Inilah persepsi jahat pembangkang,” kata Syed Ali dalam blognya hari ini.