Paling Popular
Terkini

GLOBAL I Gunung Agung, gunung berapi di Pulau Bali dilaporkan meletus lagi dan mengeluarkan asap tebal setinggi 3,000 meter dan turut menyebabkan berlakunya hujan abu di kawasan sekitar gunung berkenaan.

Menurut Pusat Vulkanologi Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), setakat 12 tengah hari ini, status letusan gunung berapi itu masih pada tahap III (Siaga) dan berkemungkinan dinaikkan ke tahap IV (Berbahaya) sekiranya keadaan bertambah serius.

Sementara itu, menurut laporan media dalam talian, letusan kembali berlaku semalam pada 5.30 petang waktu tempatan dan disusuli dua lagi letusan pada 5.05 pagi dan 5.45 pagi tadi.

Gunung Agung mula meletus dan mengeluarkan asap kelabu setinggi 600 meter pada 21 November lepas.

Sementara itu agensi berita Antara melaporkan penduduk di sekitar gunung berkenaan telah diminta berpindah dan tidak dibenarkan berada di kawasan sekitar enam hingga 7.5 kilometer dari kawasan gunung berkenaan.

Menurut Kompas dalam laporan media dalam taliannya, setakat ini belum terdapat arahan penutupan Lapangan Terbang Antrabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali, namun dilaporkan sebanyak 16 penerbangan melibatkan enam syarikat penerbangan iaitu Jetstar, KLM, Qantas dan Virgin Air telah membatalkan penerbangan dari dan ke Bali hari ini.

Kementerian Perhubungan juga dilaporkan telah menetapkan 10 lapangan terbang lain iaitu Jakarta, Makassar, Surabaya, Balikpapan, Solo, Ambon, Manado, Praya, Kupang dan Banyuwangi sebagai alternatif kepada semua penerbangan yang mahu membatalkan penerbangan mereka ke Bali. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS