Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan anak-anak Melayu supaya merenung diri dengan mengingat kembali jasa-jasa Umno kepada mereka.
Menurut Tengku Adnan anak-anak Melayu perlu menghargai jasa Umno dalam menyediakan peluang pendidikan.
"Saya pun pernah jadi pelajar, (tetapi) kerana dasar Umno yang kamu dapat masuk universiti. Kalau tak dapat masuk universiti di Malaysia, kita hantar ke luar negara, (tapi bila) balik negara tunjuk pandai marah kepada Umno.
“Apa salah Umno? Balik nanti renung siapa saya, siapa ibu-bapa saya, bagaimana saya jadi macam ini. Renungkan kerana kita sudah lupa kerana kita orang Islam tetapi tak bersyukur apa yang kita ada,” kata Tengku Adnan dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Nadi Negara di PWTC hari ini.
Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 yang diadakan untuk menghargai pencapaian mahasiswa itu turut dihadiri Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata pembangkang pada hari ini sering menabur fitnah mendakwa kerajaan Umno-BN gagal mentadbir negara dan melaksanakan dasar dengan baik.
"Saya cakap begini kerana saya lihat keadaan negara sejak kebelakangan ini, apatah lagi kita undi pembangkang yang tidak ada 'tamakninah' (henti-henti).
"Pembangkang sengaja hendak memecah-belahkan negara dan pembangkang sengaja hendak lihat negara hancur," katanya.
Tengku Adnan juga bertegas kuasa Umno perlu dikekalkan supaya kepentingan kaum Melayu dan hak-hak keistimewaan terus dipertahankan.
Malah katanya Umno telah membuktikan keupayaannya mempertahankan hak dan keistimewaan kaum Melayu selama mentadbir negara ini.
"Kita bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna namun percayalah dengan kepimpinan yang ada pada hari ini, di bawah Datuk Seri Najib Razak beliau sedia untuk mengubah dan memperbetulkan," katanya.
Tengku Adnan berkata kerajaan sudah memberikan pendidikan kepada seluruh mahasiswa dan tidak adil sekiranya kumpulan itu memaki hamun kerajaan selepas tamat belajar.
“Saya minta anak-anak jangan pergi masuk universiti untuk dapat sijil sahaja kemudian kerja, bila dah kerja maki kerajaan.
“Kita didik anda, beri pelajaran, degree, diploma, tidak menjanjikan anda kerja tapi sebagai kerajaan kita bertanggungjawab cuba memudahkan pelajar-pelajar kita di institusi kerajaan dan GLC,” katanya.