Persoalan ateisme yang jarang-jarang diperkatakan secara umum tiba-tiba menjadi topik perbualan, lantaran kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang fahaman itu bertentangan dengan Perlembagaan.
Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama tetapi bukannya kebebasan untuk tidak beragama, kata Asyraf.
Ada pihak yang menganggap kenyataan itu tidak sesuai di saat dunia tanpa sempadan sekarang, di mana idea dan pandangan keluar masuk tanpa sekatan.
Tindakan pihak berkuasa agama sebelum ini yang dilihat ingin mengawal pemahaman rakyat, antaranya dengan mengharamkan buku dan terbaru menahan sarjana Turki Mustafa Akyol, tidak membantu keadaan.
Bagi pendakwah Wan Ji Wan Husin, menggunakan undang-undang dalam berhadapan ateisme hanya memberi kelebihan kepada fahaman itu, dalam 'pertembungannya' dengan agama.
"Menggunakan undang-undang hanya akan menimbulkan simpati kepada ateisme. Malah jika undang-undang itu digunakan atas nama Islam, ia akan memburukkan imej Islam.
"Sewajarnya reaksi Islam terhadap ateisme adalah melalui debat dan hujah ilmu," katanya kepada Malaysiakini.
Asyraf berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud di Dewan Rakyat Khamis lalu, tentang tindakan kerajaan bagi membendung fahaman itu, antaranya di media sosial yang menurutnya banyak mempengaruhi orang Melayu.
Asyraf juga menyifatkan ateisme seabgai "berbahaya", dan tidak boleh disebarkan kepada orang Islam berdasarkan Seksyen 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama, kepercayaan dan doktrin lain kepada warga yang beragama Islam.
Katanya lagi, penyebaran terhadap orang bukan Islam juga bercanggah dengan undang-undang berkaitan ketenteraman awam dan moral serta boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan.
Antara individu dan negara
Pensyarah Universiti Islam Malaysia (UIA) Dr Maszlee Malik pula berkata, negara sememangnya tidak boleh memaksa kepercayaan dalaman setiap individu.
"Di peringkat individu, (fahaman) tidak boleh dipaksa. Mungkin yang dimaksudkan (Asyraf) adalah tidak menjadikan fahaman itu sebagai teras atau sebahagian dasar negara.
"Tetapi dasar seperti Rukunegara meletakkan kepercayaan kepada Tuhan sebagai teras tak boleh ditukar," katanya.
Dari sudut undang-undang pula, Presiden Majlis Peguam George Varughese menyangkal pandangan Asyraf dengan berkata Perlembagaan Persekutuan turut melindungi kebebasan untuk tidak beragama.
"Hak kebebasan seseorang menganut dan mengamalkan agama masing-masing dan menyebarkannya, seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, adalah sama kebebasan untuk tidak menganut dan mengamalkan mana-mana agama dan menyebarkan ideologi kepercayaan atau amalan sebegitu," katanya.
Peguam Syahredzan Johan dan Fadiah Nadwa Fikri turut menyuarakan pandangan serupa.
Fadiah berkata kerajaan tiada hak untuk campur tangan dalam kepercayaan individu, dan mengingatkan kerajaan agar tidak menggunakan undang-undang untuk menekan golongan minoriti seperti ateis.
Syahredzan pula berkata, kalaupun ateis tidak berperlembagaan - kenyataan yang tidak dipersetujuinya - ia tidak bermakna ia menyalahi undang-undang.
Namun, beliau setuju bahawa penyebaran fahaman itu kepada orang Islam secara teknikal adalah dilarang di Malaysia.