Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib hari ini membangkitkan soalan yang membingungkannya mengenai mengapa Umno dan BN kalah dalam Pilihan Raya Umum 2008.
Sedangkan katanya, negeri itu mempunyai pelabuhan, lapangan terbang, Putrajaya dan LRT serta membawa pelbagai pembangunan di bawah pentadbiran BN.
Malam ini, pejabat Datuk Seri Azmin Ali memberikan jawapannya.
Merujuk Muhammad sebagai "ahli politik yang dikitar semula", pengarah komunikasi strategik Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong mendakwa bahawa jawapannya sudah diketahui umum.
"Menjelang bulan Mac 2008, Umno dan BN menjadi tidak relevan, bahkan tidak menyenangkan kepada pengundi di Selangor kerana orang ramai sudah muak dengan rasuah beberapa dekad, pembaziran dan salah urus," katanya.
Yin berkata rakyat Selangor bukan tidak mengenang budi terhadap kemudahan jalan raya, infrastruktur, bekalan air dan bekalan elektrik.
"Mereka bimbang bahawa kemudahan asas ini perlu melalui kontrak kepada kroni yang berkaitan dengan politik.
"Mereka bimbang bahawa ahli-ahli politik yang meluluskan projek-projek ini boleh berebut-rebut masuk dan keluar negara dengan membawa beg pakaian yang disumbat dengan wang," katanya.
Kenyataaan itu jelas merujuk terhadap penahanan Muhammad di lapangan terbang Brisbane kerana membawa matawang Singapura, Malaysia dan New Zealand bernilai AS $ 1 juta pada 1987.