Paling Popular
Terkini
story images
story images

Setelah 'padan muka' gagal dalam tuntutan di Mahkamah Perusahaan baru-baru ini, saya bertemu dengan banyak pihak antaranya beberapa peguam, pemimpin kesatuan sekerja, pengamal media dan aktivis masyarakat.

Bukan menagih simpati, tetapi saya diminta untuk berjumpa mereka yang sangat mahu bertemu dengan saya tidak kisah di mana, pada bila-bila masa pun.

Rata-rata semua menzahirkan rasa hairan bagaimana saya boleh 'kalah' dalam pusingan pertama perjuangan untuk mendapatkan keadilan setelah dibuang kerja sebagai wartawan Utusan Melayu (M) Berhad pada tahun 2009.

Pada masa yang sama, kesemua mereka berpendapat bahawa saya patut memfailkan kes ini masuk pusingan kedua di Mahkamah Tinggi dengan memohon untuk menyemak semula penghakiman di Mahkamah Perusahaan.

Dalam keadaan emosi yang agak terganggu ketika itu, saya tidak mampu untuk berfikir secara teliti dan mendalam, lalu membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan keluarga terlebih dahulu.

Reda dan pasrah

Seperti diduga, keluarga juga ternyata kecewa dengan keputusan penghakiman di Mahkamah Perusahaan yang berlangsung selama lapan tahun itu dan mengambil sikap 'reda' dengan apa yang telah diputuskan.

Keluarga terutama ibu dan isteri yang menyokong serta mengikuti perjalanan kes ini secara dekat sesungguhnya berhak berasa hampa kerana mereka tahu, nampak betapa saya sangat mengambil berat dalam hal ini.

Ekoran pandangan keluarga itu, saya hampir pasrah dengan keadaan itu, seakan-akan mahu melupakan 'episod hitam' yang berlaku ketika berjuang dalam Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) dahulu.

Hidup perlu diteruskan, lupakan tragedi September 2009 dan bekerja sekuat mungkin untuk menyara kehidupan demi anak-anak yang semakin membesar dan 'membantu' negara dengan membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Penting diri sendiri

Namun, hasrat saya itu mendapat tentangan yang kuat dari beberapa kesatuan sekerja dan para peguam yang mahu saya membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi dengan diminta untuk tidak sekadar 'mementingkan diri sendiri'.

Mereka kata, saya bukan siapa yang sebenarnya kerana pentingkan diri sendiri semata-mata jika pasrah, reda dengan penghakiman Mahkamah Perusahaan itu.

Bagi mereka, kes ini bukan mengenai saya semata-mata, bukan sekadar untuk mendapat keadilan semaksimum mungkin setelah dibuang kerja sebagai wartawan walaupun bertindak atas kapasiti ketua NUJ ketika itu.

Kata mereka, ia sangat penting bukan sahaja demi masa depan NUJ, bahkan kesemua kesatuan sekerja di negara ini.

Takut bersuara

Mereka khuatir, jika keputusan Mahkamah Perusahaan dalam kes ini tidak melalui semakan kehakiman, semua kesatuan sekerja di negara ini akan takut untuk bersuara dalam menegakkan perjuangan.

Kata mereka, jika saya kalah juga di pusingan kedua, semua kesatuan sekerja di negara ini akan tunduk malu, tidak langsung boleh mengkritik majikan dalam apa jua media apatah lagi melaporkan dakwaan salah laku kepada pihak berkuasa.

Jika berbuat demikian, mereka boleh dianggap sebagai memfitnah syarikat dan majikan boleh mengambil tindakan membuang pekerja berkenaan walaupun bersuara bagi pihak kesatuan sekerja.

Dengan merujuk kepada penghakiman Mahkamah Perusahaan dalam kes saya, majikan dirasakan mempunyai potensi yang besar untuk menang dalam kes pembuangan pekerja jika ada lagi pemimpin kesatuan sekerja yang lantang.

Puji, bodek majikan

Apa yang pemimpin kesatuan sekerja boleh lakukan hanyalah memuji dan memuja majikan, mengharapkan apa sahaja pemberian tanpa kemampuan untuk berunding dan ucap terima kasih dengan apa yang ada.

Pemimpin kesatuan sekerja perlu 'terlajak mesra' dengan majikan dengan hanya menjadi pak angguk dan menerima apa jua cadangan dalam rundingan perjanjian bersama (CA) selain menutup mata jika nampak apa-apa salah laku atau salah guna kuasa.

Justeru, memikirkan sedalam-dalamnya mengenai perkara ini, saya memutuskan untuk memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dan berunding dengan pihak NUJ untuk melantik Gobind Singh Deo sebagai peguam kes ini.

Sesungguhnya, keputusan meneruskan perjuangan ini bukanlah mengenai 'syok sendiri' atau mengharapkan pampasan jika menang, sebaliknya demi nasib NUJ dan kesatuan sekerja lain di negara ini.

Saya tidak begitu bodoh untuk mengharapkan pampasan puluhan ribu ringgit jika menang dalam kes ini dari sebuah syarikat yang telah kerugian lebih RM200 juta sejak lima tahun yang lalu.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden Cuepacs dan naib pengerusi DAP.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS