Laman pendukung Datuk Seri Najib Razak MYKMU menyelar pendirian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang tidak bertudung kerana dilarang suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad.
MYKMU berkata, mengikut Islam, isteri hanya wajib taat kepada perintah suami selagi tidak bercanggah dengan perintah Allah dan rasul.
“Kalau apa suami suruh pun buat, itu bukan taat mengikut kehendak agama, itu taat 'mengkhinzir' buta namanya.
“Ini baru satu bab (tudung), kalau suami suruh buat benda yang lebih dahsyat lagi, mencuri contohnya, nak ikut juga ke?” menurut tulisan Adamyan itu.
MYKMU bagaimanapun tidak menamakan Hasmah secara langsung, tetapi memuat naik rakaman skrin berita Malaysiakini berkaitan perkara itu dengan menggelapkan perkataan Hasmah dan sebahagian mukanya.
Malaysiakini hari ini melaporkan Hasmah mendedahkan sebab beliau tidak bertudung ketika menjawab soalan berkaitan larangan bertudung terhadap pekerja kaunter hadapan di sesetengah hotel di Malaysia.
Hasmah mengakui teringin bertudung selepas pulang dari Mekah tetapi dilarang oleh suami.
Sementara itu, MYKMU juga berkata keaiban sebegitu tidak patut didedahkan.
“Kalau suami mungkin terkhilaf tentang sesuatu perkara berkaitan hukum, isteri janganlah dengan senang dan bangganya memberitahu kepada dunia.
“Apatah lagi ini suami yang mengaku membaca al-Quran dan dengan itu faham akan Islam lebih dari orang lain yang tak berapa nak membaca ni,” katanya.
Laman itu juga cuba mengaitkannya dengan pegangan Islam keluarga Mahathir.
“Begitupun, beginilah gamaknya gambaran keseluruhan pegangan Islam yang dipegang oleh keluarga ini agaknya ya.
“Padanlah dari mak, sampai ke anak, cucu dan sebagainya, semuanya nampak tidak menerapkan nilai-nilai yang orang Islam semua faham,” katanya.