Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar mengaku turut terasa dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa mengaitkan keturunan Bugis dengan lanun.
"Saya terasa juga. Saya keturunan Bugis, Sultan Selangor keturunan Bugis, Rakyat Johor banyak keturunan Bugis.
“Asal usul saya pun dari Riau Lingga. Banyak Bugis. Apa rasa orang Bugis," titah Sultan Ibrahim Iskandar, seperti dilaporkan Berita Harian.
Sultan Ibrahim berkata orang Bugis adalah pelaut dan menjaga laluan yang berkepentingan dan tidak memusnahkan kapal yang melalui Selat Melaka.
Kontroversi itu bermula apabila Mahathir dilaporkan menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya balik ke Sulawesi, tempat asal keturunan Bugis, termasuk presiden Umno itu.
“Mungkin kerana dia (Najib) berasal dari lanun Bugis. Entah macam mana dia sesat sampai ke Malaysia. Pergi baliklah ke Bugis," katanya.
Banyak pihak tampil mendakwa Mahathir telah menghina orang Bugis.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga murka dan Dewan di-Raja Selangor menuntut siasatan dan tindakan bawah Akta Hasutan terhadap Mahathir.
Mahathir bagaimanapun berulang kali menafikan dakwaan itu dan menegaskan beliau hanya merujuk kepada Najib seorang sahaja.
'Cuba saya kata orang Cina perompak'
Bertitah pada pertemuan bersama Kumpulan Media Prima sempena hari keputeraan baginda ke-59, di Istana Pasir Pelangi, dekat Johor Bahru, Sultan Ibrahim berkata kenyataan seperti dibuat Mahathir itu dilihat mahu memecah belah kaum dan menanam kebencian antara kaum.
"Cuba saya kata orang Cina perompak. Terasa tak semua Cina? India pembunuh? Terasa orang India.
“Ini yang saya kata balik semula memecahbelahkan. Membuatkan kaum sesama kaum membenci. Kita sepatutnya mesti saling menghormati antara satu sama lain,” titahnya.
Baginda berharap semua kaum bersatu padu untuk kemajuan Johor.
"Keturunan Melayu, keturunan India, Cina semua adalah bangsa Johor. Bila saya sebut jika kita sudah berpecah, bukan orang Melayu saja yang berpecah, India berpecah, Cina pun berpecah, maknanya bangsa Johor berpecah.
"Kalau semua bersatu menyokong pentadbiran kerajaan Johor, saya rasa tak ada masalah di Johor. Kalau Johor hendak maju dengarlah nasihat saya,” titah baginda, yang berharap perpaduan rakyat menjadi hadiah hari keputeraan baginda.