PARLIMEN l Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu Parlimen hari ini bahawa ateisme adalah "tidak berperlembagaan" dan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.
Asyraf menambah bahawa walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama, ia tidak membenarkan kebebasan untuk tidak beragama.
“Kita harus faham, dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Persekutuan kita menyatakan bahawa kebebasan beragama itu bukan bermakna kebebasan untuk tidak beragama.
“Ini kerana tidak konstitusional untuk mengatakan kita boleh menyebarkan pemahaman tidak beragama di dalam konteks negara ini, freedom of religion is not freedom from religion,” katanya.
Asyraf menjawab soalan Siti Mariah Mahmud (AMANAH-Kota Raja) yang bertanya mengenai kumpulan Kelab Ateis KL yang dikenali sebagai Atheist Republic Consulate of KL, yang dakwanya banyak mempengaruhi pemuda Melayu.
“Mereka bukan sahaja tidak setakat tidak mpercayai adanya tuhan, tetapi tindakan mereka agak agresif.
“Bila di Facebook, media sosial, mereka menyerang agama-agama lain, juga menyerang agama Islam.
“Sekarang ini, adakah sebarang tindakan yang khusus dan specifik kepada golongan ini dan berapa orang telah diambil tindakan dan sebagainya. Seterusnya, bagaimana membendung, oleh kerajaan,” soal Siti Mariah.
Asyraf berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah cuba menyekat laman Facebook kumpulan itu, tetapi gagal.
“Setakat ini, mereka bergerak melalui media sosial, khususnya di Facebook.
“Pihak Jakim telah bekerja sama dgn SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk buat laporan kepada Facebook tetapi malangnya pihak Facebook jawab ia tidak bertentangan dengan polisi mereka..
“Kalau SKMM nak menyekat, ia tak boleh membuat apa (terhadap) Facebook peribadi, kalau kita nak menyekat kena menyekat keseluruhan Facebook,” katanya.
Asyraf menyifatkan ateisme sebagai "berbahaya," dengan menyatakan bahawa Seksyen 11 (4) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan penyebaran agama, kepercayaan atau doktrin lain kepada orang Islam di negara ini.
“Bagi bukan Islam, sebenarnya, seperti kita semua maklum, ia bercanggah juga dgn undang-undang berkaitan ketenteraman awam dan kemoralan bahkan kita sudah ada Akta Hasutan, umpamanya.
“Sekiranya ada pihak-pihak yang cuba untuk menyebarkan ideologi atau doktrin seperti mana ateis ini, yang cuba menyangkal kesucian agama-agama lain, ia boleh diambil di bawah Akta Hasutan.
"(Ini ) bermakna kita tak boleh hasut orang ramai meninggalkan agama atau mempromosi tidak beragama, kita tak boleh mengarahkan (atau) promosikan supaya satu fahaman yang bertentangan Perlembagaan Persekutuan untuk kita tidak beragama.
“Dalam Rukun Negara, kita tak boleh bertentangan dgn prinsip ‘kepercayaan kepada Tuhan’,” katanya.