Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan Akta Dadah Berbahaya tiada hukuman mati mandatori
Diterbitkan:  Nov 23, 2017 12:37 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

PARLIMEN l Kerajaan membentangkan pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 yang bakal memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menghukum pengedar dadah dengan hukuman mati atau dengan pemenjaraan seumur hidup.

Pindaan yang akan mewajibkan banduan untuk membantu agensi penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah supaya terlepas daripada hukuman gantung itu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini.

Di bawah pindaan kepada Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 , mana-mana orang yang disabitkan dengan kesalahan pengedaran dadah berbahaya hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau dengan pemenjaraan seumur hidup yang mana dia boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Walau bagaimanapun, bukan semua individu yang disabitkan dengan kesalahan pengedaran dadah akan dikecualikan daripada hukuman mati itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan cadangan kerajaan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Dadah Berbahaya untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B bertujuan memberi lebih ruang kepada mahkamah untuk menggunakan budi bicara dalam menentukan hukuman lebih sesuai terhadap pesalah dadah.

Bernama memetik Azalina berkata cadangan itu juga selari dengan prinsip menjatuhkan hukuman iaitu sewajarnya mahkamah dibenarkan menggunakan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman selain hukuman mati mandatori.

“Bagaimanapun, kuasa budi bicara mahkamah hanya tertakluk untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang lima belas kali sebatan setelah Mahkamah mengambil kira beberapa keadaan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tanpa pindaan ini, hakim yang mengendalikan kes berkaitan terpaksa menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh yang didapati bersalah di mahkamah kerana tiada hukuman lain diperuntukkan.

Azalina yang juga anggota Parlimen Pengerang berkata semua pihak perlu melihat pindaan ini sebagai langkah proaktif kerajaan bagi memastikan keadilan sewajarnya kepada mereka yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman mati mandatori.

“Bagaimanapun, hukuman mati (di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) masih perlu dikekalkan untuk memberi gambaran jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang mengedar dadah sehingga menjadi ancaman kepada negara dan rakyat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS