Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ADUN PKR dikecualikan urus permohonan bantuan banjir

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga yang mengambil pendirian berkecuali ketika undian yang usul Umno berkenaan penambakan tanah dua tahun lalu dilarang menguruskan pendaftaran permohonan bantuan mangsa banjir.

Malaysiakini melihat surat bertarikh 20 Nov daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus kepada Cheah Kah Peng yang menyatakan ADUN Kebun Bunga itu dikecualikan daripada perkara itu selepas perbincangan dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

“Sila maklum bahawa anda tidak ada dalam senarai nama yang menguruskan permohonan (bantuan RM700).

“Berkuatkuasa serta-merta, anda tidak lagi bertanggungjawab menguruskan permohonan itu,” kata surat itu.

Berdasarkan surat itu, tugas berkenaan akan diambil alih Lim yang juga ADUN Air Putih, selain ADUN Pulau tikus Yap Soo Huey yang merupakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Cheah tidak dimaklumkan alasan beliau tidak dibenarkan membantu permohonan bantuan di kawasannya yang akan diberikan penghujung Disember.

Farizan bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasan sementara Cheah enggan mengesahkan perkara itu.

Cheah dan empat ADUN PKR – Norlela Ariffin (Penanti), Lee Khai Loon (Machang Bubok), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan ketua whip Ong Chin Wen (Bukit Tengah) – perselisihan pendapat dengan Lim selepas mereka berkecuali dalam pengundian usul Umno untuk menghentikan semua projek penambakan pada 2015.

Lim mendakwa mereka cuba mensabotaj kerajaan Pulau Pinang. Cheah digugurkan dari jawatan pengarah Penang Hill Corporation.

Cheah pada 10 Nov lalu juga mempersoal pengkorporatan Penang Botanic Gardens.

ADUN Permatang PASIR Pasir Salleh Man juga tidak dibenarkan menguruskan pemohon bantuan mangsa banjir.

Salleh yang merupakan ADUN tunggal PAS di negeri itu kini sedang bercuti untuk pembedahan mata.

Bantuan mangsa banjir RM700 akan diberikan kepada keluarga yang sudah didaftarkan dengan kerajaan negeri susulan banjir besar pada 4 dan 5 November lalu. Tarikh akhir permohonan pada 16 December.

Pendaftaran boleh dilakukan secara atas talian atau melalui pusat khidmat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS