Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan diambil terhadap anggota parlimen BN yang ponteng ketika pengundian belah bahagi, yang menyaksikan Bajet 2018 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi peringkat jawatankuasa hampir tidak diluluskan.

Zahid yang juga ketua whip BN berkata tindakan telah diambil terhadap mereka namun tidak menjelaskannya dengan lebih lanjut.

"Tindakan domestik (dalaman) telah diambil terhadap MP yang tidak hadir.

"Saya juga sudah tegur mereka yang mereka perlu lebih serius dalam soal menghadiri sidang (Parlimen)," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 20 November lalu, G Manivannan (PKR-Kapar) mengejutkan BN dengan mengusulkan undi belah bahagi diadakan bagi perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2018 KPDNKK.

Menurut Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam), tindakan tersebut dirancang secara rahsia dan malah tidak diketahui sebahagian anggota parlimen pembangkang sendiri.

Ia menjebabkan bajet tersebut hanya diluluskan dengan satu undi majoriti, iaitu 52 anggota parlimen mengundi untuk menyokong manakala 51 yang lain membantah. Dua anggota parlimen lagi, dari PAS, pula berkecuali.

Lebih daripada 80 anggota parlimen BN tidak hadir ketika itu.

"Sebab itu saya sudah beri teguran kepada mereka...Tapi yang pentingnya kita menang," kata Zahid.

Kejadian sama berlaku pada perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2010 pada 15 Disember 2009.

Ketika itu, kerajaan juga menang undian belah bahagi dengan kelebihan satu undi bagi peruntukan untuk Kementerian Dalam Negeri, apabila mendapat 64 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS